Masalah bateri, pengguna iPhone layak tuntut AS$25 | DagangNews Skip to main content

Masalah bateri, pengguna iPhone layak tuntut AS$25

iPhone

NEW YORK 14 Julai - Pengguna iPhone yang mengalami masalah bateri atau Batterygate pada peranti elektroniknya bermula sekitar tahun 2017 layak untuk menerima wang tunai AS$25 daripada syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tim Cook berkata, Apple bersetuju membayar hingga AS$500 juta bagi menyelesaikan masalah tuntutan mahkamah yang mendakwa pihaknya sengaja memperlahankan fungsi peranti elektronik iPhone lama sekali gus mendorong para pelanggan membeli model baharu.

"Pelanggan kami layak menerima bayaran dengan syarat mereka adalah pelanggan dari AS dan menggunakan iPhone 6,6 Plus, 6S, 6S Plus atau SE yang menggunakan iOS 10.2.1 atau lebih terbaru sebelum 21 Disember 2017.

"Bagi pengguna iPhone 7 atau 7 Plus, anda mungkin layak mendapat pembayaran tersebut sekiranya menggunakan iOS 11.2 atau lebih baharu yang turut mengalami penurunan prestasi pada tempoh sama," katanya.

iPhone

Kini Apple akan membuat pembayaran dengan jumlah keseluruhan antara AS$310 juta hingga AS$500 juta dengan pembayaran tunai hingga AS$25 kepada pelanggan yang memenuhi syarat.

Batterygate adalah isu terbesar dalam sejarah penubuhan syarikat Apple.

Pada Disember 2017, pemaju iPhone, Geekbench mengesahkan Apple telah meletupkan beberapa peranti elektronik mereka setelah pelanggan mendakwa fungsi bateri yang lama adalah lebih baik.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian ahli teori konspirasi yang mendakwa pihak Apple sengaja berbuat demikian agar dapat menjual produk baharu mereka.

Namun, perkara tersebut dinafikan Apple dan memberitahu, pihaknya sengaja menghadkan kemampuan daya bateri berkenaan bagi mengelak masalah telefon padam secara tiba-tiba.

Ekoran penularan isu berkenaan, Apple turut disiasat oleh unit kepenggunaan Perancis, Jabatan Kehakiman dan Bursa AS selain lebih 60 tuntutan mahkamah dibuat pelanggan yang terlibat.

Syarikat itu berdepan pembayaran yuran denda AS$27 juta dari penguat kuasa Perancis dan AS$5 juta dari penguat kuasa Itali. - DagangNews.com