KUALA LUMPUR 7 Julai - MARC Ratings mengesahkan penarafan AAA(cg) /MARC-1IS(cg) dengan prospek stabil untuk program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP) F&N Capital Sdn Bhd, yang mempunyai had nilai gabungan sehingga RM3 bilion.
F&N Capital ialah syarikat perbendaharaan milik penuh Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB).
Pengesahan itu mencerminkan penjanaan hasil F&NHB yang kukuh menerusi rangkaian tenusu dan minumannya yang mantap di Malaysia dan Thailand.
Ia turut mengambil kira kedudukan leveraj yang sangat rendah dan kecairan yang tinggi, dengan tahap pinjaman terkumpul yang sangat rendah iaitu sebanyak RM1 juta berbanding pegangan tunai sebanyak RM319.9 juta.
Sebagai tambahan, penarafan tersebut turut mengambil kira peningkatan hasil kumpulan sebanyak 1.8% dari tahun ke tahun kepada RM2.2 bilion dalam separuh pertama tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2022 walaupun dalam persekitaran global yang tidak tentu dengan kenaikan harga bahan mentah dan kos pembungkusan yang mendadak.

Mengulas mengenai penarafan ini, Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, penarafan itu menandakan kedudukan kewangan Kumpulan yang kukuh dan dasar pengurusan yang berhemah.
Katanya, ia bukan sahaja mengiktirafkan pengurusan aliran tunai operasi Kumpulan yang sihat tetapi juga keupayaan syarikat untuk kekal fokus kepada usaha mengembangkan perniagaan dalam keadaan pasaran yang sangat mencabar.
"Sebagai langkah untuk mara ke hadapan, kami akan meningkatkan usaha untuk mengekalkan kedudukan kami sebagai peneraju pasaran serta melaksanakan inisiatif yang dirancang.
"Ini membolehkan kumpulan kekal teguh dalam mengambil langkah-langkah strategik ke arah penawaran produk-produk baharu, perladangan secara bersepadu serta membangunkan peluang kerjasama yang berpotensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
F&NHB ialah sebuah syarikat Malaysia yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, yang mempunyai kepakaran dan kedudukan yang utama dalam perniagaan makanan dan minuman dengan memiliki 2,500 pekerja di Malaysia, Brunei, Thailand dan Indochina.
Kumpulan juga merupakan konstituen Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Syariah berdasarkan komitmennya yang kukuh, selari dengan amalan perniagaan yang bertanggungjawab terhadap hal-hal alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). - DagangNews.com








