KUALA LUMPUR 22 Feb - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC) menawarkan ujian kesuburan berpandukan DNA pertama di dunia dengan kerjasama Divine Genes Sdn Bhd melalui perjanjian yang dimeterai hari ini.
Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama untuk meneroka peluang perniagaan berhubung dengan peningkatan dan pengedaran ujian genetik antarabangsa untuk kesihatan reproduktif.
Divine Genes merupakan syarikat pegangan pelaburan yang terlibat di dalam perniagaan pengedaran produk farmaseutikal, perkhidmatan perundingan kewangan serta barangan dan perdagangan am.
Di bawah kerjasama strategik ini, ujian genetik Divine Genes untuk kesihatan reproduktif akan ditambah di dalam portfolio ujian genetik MGRC yang akan memasarkan dan mengedarkan ujian ini di Malaysia dan luar negara.
Ketua Pegawai Eksekutif MGRC, Sasha Nordin berkata, kekurangan kesuburan dan kadar kelahiran merupakan perkara biasa di seluruh dunia dan mendorong peningkatan permintaan perubatan reproduktif di banyak negara.

“Ujian kesuburan baharu yang didorong oleh DNA ini dapat membantu pakar kesihatan reproduktif dan pesakit mereka membuat keputusan penting dalam menyokong meningkatkan hasil rawatan kesuburan.
"Ujian ini akan membentuk bahagian penting dalam portfolio saringan genetik MGRC daripada lebih 550 ujian yang terdapat di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengarah Divine Genes, Dr. Pawel Suwinski optimis dengan kerjasama tersebut memandangkan MGRC merupakan organisasi yang mempunyai jangkauan pasaran, rekod prestasi dan platform untuk mengedarkan ujian genetiknya.
“Kerjasama ini merupakan platform yang baik bagi kedua-dua pihak untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing dalam meningkatkan produk dan mengembangkan pasaran untuk ujian,” tambahnya. -DagangNews.com








