KUALA LUMPUR 4 April - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) giat mempromosi dan meningkatkan perdagangan produk agrikomoditi negara di peringkat global melalui Misi Ekonomi dan Promosi Produk Agrikomoditi ke Turki.
Misi tersebut yang bermula 26 Mac hingga 31 Mac 2022 diketuai oleh Menteri KPPK, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Zuraida berkata, pertemuan turut diadakan dengan Menteri Perdagangan Turki, Dr. Mehmet Mus pada 27 Mac 2022.
"Pertemuan ini antara lain menbincangkan mengenai mengenai hasrat Malaysia untuk mempergiatkan industri hiliran yang berasaskan minyak sawit dan getah.
"Malaysia turut menawarkan kepakaran berasaskan teknologi getah asli iaitu galas getah seismik yang mampu menyerap gegaran gempa bumi bagi industri pembinaan, jambatan dan laluan keretapi di Turki yang kini berkembang pesat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Zuraida, KPPK turut menyatakan penghargaan Malaysia kepada Turki atas pengecualian cukai yang lebih rendah hasil kerjasama Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang telah dimeterai pada tahun 2019 selain mengadakan perbincangan untuk menjadikan Turki sebagai hub untuk produk agrikomoditi negara ke benua Eropah dan Asia Tengah.

"Isu-isu berkaitan minyak sawit turut diperjelaskan dan Malaysia mempelawa Turki untuk memberi sokongan dalam berhadapan sikap prejudis terhadap produk sawit.
"Sesi pertemuan turut diadakan bersama penggiat industri di Ankara, Turki bagi membincangkan isu dan masalah yang dihadapi selain mempromosikan agrikomoditi utama Malaysia iaitu minyak sawit, getah, kayu kayan, koko dan lada," katanya.
Semasa di Istanbul, delegasi KKPK juga telah mengadakan pertemuan bersama pengurusan syarikat Yildiz Holdings, Turkey’s Leading Business Association (MUSIAD), lawatan ke kilang perabot Sevila Movilya serta menyaksikan sesi menandatangani perjanjian persefahaman bersama (MoU)diantara Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) dan Turkish Timber Importers and Exporters Association (TORID).
Turki merupakan pasaran penting kepada agrikomoditi Malaysia. Pada tahun 2021, nilai dagangan produk agrikomoditi dengan Turki berjumlah RM6.02 bilion dengan nilai eksport sebanyak RM5.99 bilion.
Eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Turki meningkat sebanyak 49.5% berbanding RM4.01 bilion pada tahun 2020. Empat produk agrikomoditi utama yang dieksport ke Turki adalah produk berasaskan sawit (RM4.38 bilion), diikuti getah (RM1.29 bilion) koko (RM304.5 juta) dan kayu-kayan (RM8.43 juta). - DagangNews.com








