KUALA LUMPUR 5 Julai - Malaysia menegaskan perperangan dan keganasan perlu dihentikan segera dan prinsip-prinsip dalam undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus dipatuhi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri berkata, dunia kini melalui hari-hari yang kritikal akibat peningkatan konflik politik sejagat seperti di Myanmar, wilayah Palestin dan terbaharu perang Rusia-Ukraine yang mencetuskan krisis kemanusiaan.
Beliau berkata, masyarakat antarabangsa pernah bersatu teguh menangani masalah sejagat dengan memberi bantuan kemanusiaan, namun mereka masih dibelenggu isu ketidak samarataan dalam menangani krisis politik tertentu seperti dalam membantu pelarian dengan membezakan mereka “yang boleh diterima” dan juga sebaliknya.
"Sehubungan itu, saya menggesa kita berpegang kepada nilai-nilai masyarakat antarabangsa yang inklusif dan mempunyai sikap perikemanusiaan sejagat serta tidak lagi mengulangi kesilapan-kesilapan lalu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ke-35, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, ekonomi dan politik dunia kini berdepan dengan situasi pasca pandemik yang kompleks selain terdapatnya persaingan yang semakin sengit antara kuasa-kuasa besar dunia.
"Di Eropah, misalnya kita menyaksikan konflik yang memberikan kesan amat dahsyat bukan hanya kepada penduduk negara-negara terlibat tetapi tempiasnya turut dirasai di seluruh dunia.
"Berikutan itu, penting sekali bagi komuniti antarabangsa melipatgandakan persediaan berdepan dengan ketidaktentuan serta bekerjasama ke arah masa hadapan yang lebih aman, progresif, inklusif dan makmur," katanya.

Menurut Ismail Sabri, semangat ‘Keluarga Malaysia’ dijadikan untuk menjalin kerjasama inklusif, mementingkan kebersamaan dan bukannya perbezaan serta mengutamakan golongan paling memerlukan, yang ternyata ia dapat membuka ruang ke arah mencapai jalan penyelesaian lebih baik.
Justeru itu katanya, beliau juga menyarankan komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat 'keluarga dunia', tambahan pula pandemik COVID-19 telah mengajar bahawa cabaran global yang berlaku dewasa ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau ‘silo’.
"Cabaran yang dihadapi hari ini sebenarnya bukanlah baharu, malah dalam keasyikan mengejar pertumbuhan ekonomi, kita kadangkala terleka untuk memberikan perhatian terhadap banyak perkara berkaitan permasalahan global. Disebabkan itu kita terpaksa berdepan dengan masalahmasalah yang sudah menjadi semakin kompleks dan sukar untuk ditangani.
"Ini seharusnya menjadi ingatan kepada penggubal dasar tentang pentingnya kita menguruskan segera cabaran yang boleh mengakibatkan kesan buruk kepada generasi akan datang," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, isu perubahan iklim sudah berlarutan sekian lama dan masyarakat antarabangsa masih gagal mencapai kata sepakat untuk menanganinya sehingga menganggu keseimbangan alam semulajadi yang menjejaskan kelangsungan kegiatan harian manusia.
Beliau berkata, penggunaan bahan bakar fosil secara berleluasa, serta penyahhutanan tanpa kawalan merupakan antara penyumbang peningkatan suhu global, diburukkan dengan ketidak-samarataan pembangunan ekonomi antarabangsa.
"Negara-negara maju berupaya menggerakkan ekonomi melalui penggunaan teknologi moden yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar, berbeza dengan negara membangun yang terbatas dari segi kemampuan teknologi dan modal," katanya.
Namun katanya, dalam usaha mencari keseimbangan ini, Malaysia tetap komited kepada sasaran untuk menjadi negara sifar bersih karbon seawal tahun 2050.
"Melihat kepada skala krisis perubahan iklim, penyelesaian yang sepadan dan inovatif daripada sektor korporat amat diperlukan bagi mendepaninya bersama-sama kerajaan, terutamanya di negara-negara membangun," katanya. - DagangNews.com








