Malaysia perlu beri tumpuan pelaburan domestik, tingkatkan produktiviti pemain industri tempatan - SAMENTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perlu beri tumpuan pelaburan domestik, tingkatkan produktiviti pemain industri tempatan - SAMENTA

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Malaysia perlu memberi tumpuan secukupnya kepada pelaburan domestik dan menggalakkan nilai tambah lebih besar dari pemain industri tempatan melalui peningkatan produktiviti, seiring tumpuan terhadap pelaburan asing.

 

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), Datuk William Ng berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) beberapa tahun ini untuk memacu automasi dan penerimagunaan teknologi dan digital lebih besar dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Beliau berkata, selain itu ia menggalakkan perubahan minda usahawan PKS untuk memberi tumpuan kepada produktiviti sebagai pemangkin terpenting untuk membangunkan perniagaan mereka. 

 

Katanya, tumpuan kepada industri ‘high growth, high value’ akan mempunyai kesan limpahan kepada PKS dan rakyat, yang mana PKS turut akan mendapat manfaat sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global.

 

"Walaupun kita faham kerajaan mahu membantu syarikat pemula sebagai strategi pertumbuhan ekonomi, kami berpendapat dana yang diketepikan ini dapat membuahkan hasil yang lebih baik jika disalurkan kepada PKS berpertumbuhan tinggi dan berimpak tinggi. 

 

"Sebagai contoh, PKS yang sedia untuk mengeksport boleh dimudahcarakan melalui penyesuaipadan pasaran berfokus dan bantuan dalam reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan. 

 

"Modal teroka dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga harus digalakkan untuk membiayai PKS dalam aktiviti penggabungan dan pengambilalihan, memandangkan PKS yang sudah matang bukan sahaja membawa risiko pelaburan lebih rendah tetapi  mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam rantaian bekalan global," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

Terdahulu, SAMENTA menyambut baik penambahbaikan kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

 

Ng berkata, kerajaan adalah tepat di dalam memperbetulkan halatuju RMK-12 dalam keadaan ekonomi global yang semakin tidak menentu.

 

Selain itu, pihaknya juga menyokong baik rancangan untuk memberi tumpuan kepada industri kreatif dan PKS yang berdasarkan reka bentuk. 

 

"Kami sekali lagi mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan geran padanan untuk reka bentuk pembungkusan dan penjenamaan, untuk membantu PKS beralih daripada pengeluar peralatan asli (OEM) semata-mata dan menjadi pemilik jenama, di samping menyokong ekonomi kreatif negara," katanya.

 

Katanya, SAMENTA kekal komited untuk menyokong kesemua 1.2 juta PKS di seluruh negara untuk menjadi lebih produktif dan berdaya saing berteraskan pendigitalan dan penglobalan. - DagangNews.com