Malaysia di landasan terbaik pulih krisis kesihatan, ekonomi - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia di landasan terbaik pulih krisis kesihatan, ekonomi - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, indikator-indikator jelas menunjukkan negara berada dalam landasan terbaik untuk pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang melanda sejak dua tahun lalu. 

 

Beliau berkata, kerajaan akan terus meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia melalui pelbagai inisiatif dan program yang melibatkan pelaburan tempatan dan luar negara.

 

"Semua inisiatif yang sedang dilaksanakan ini membolehkan kadar pengangguran pada Disember 2021 menurun kepada 4.2% berbanding 4.3% pada November 2021 berikutan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

 

"Prestasi eksport Malaysia berdaya tahan dengan nilai eksport melebihi RM100 bilion pada Disember 2021 di mana pencapaian ini mencatat rekod baharu yang mencecah RM123.8 bilion dan berkembang 29.2%, tahun ke tahun," katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini. 

 

Ismail Sabri berkata, Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mengesahkan firma-firma Amerika Syarikat melabur RM165.73 bilion dengan lebih 130,000 peluang pekerjaan yang telah diwujudkan di mana 90% daripadanya diisi rakyat tempatan. 

 

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah meluluskan RM109.1 bilion dalam tempoh 100 hari pentadbiran saya bagi meningkatkan pelaburan asing dalam sektor pembuatan dengan unjuran 25,000 peluang pekerjaan. 

 

"Projek terbaharu yang dilaksana Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) iaitu Kedah Rubber City (KRC) bakal menarik pelaburan kira-kira RM10 bilion dan sudah mencecah RM4,000 bilion setakat ini. Selain itu, KRC juga mewujudkan 7,000 peluang pekerjaan baharu kepada Keluarga Malaysia," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Katanya, menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia (JaminKerja), kerajaan menyediakan 600,000 peluang pekerjaan dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion. - DagangNews.com