LTAT umum kemudahan baharu pengeluaran haji dan pendidikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LTAT umum kemudahan baharu pengeluaran haji dan pendidikan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kelulusan Menteri Pertahanan hari ini mengumumkan dua kemudahan pengeluaran dalam perkhidmatan baharu iaitu, Pengeluaran Haji dan Pengeluaran Pendidikan. 

 

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha penambahbaikan skim persaraan LTAT serta memberikan nilai tambah untuk kesejahteraan pencarumnya.

 

Pengerusi LTAT, Jeneral (Bersara) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, LTAT komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pencarum. 

 

"Kita mendukung aspirasi Kerajaan untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa diutamakan. Kami di LTAT berharap kedua-dua kemudahan pengeluaran ini boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya dan memberikan nilai tambah baik dari segi sosio-ekonomi, keberadaan keluarga mahupun kesejahteraan spiritual," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengeluaran Haji LTAT merupakan kemudahan pengeluaran dalam perkhidmatan yang disediakan LTAT untuk membenarkan pencarumnya yang layak mengeluarkan sebahagian simpanan persaraan mereka daripada Tabung Angkatan Tentera bagi membiayai kos menunaikan ibadah fardhu haji.

 

Terma dan syarat utama bagi kemudahan Pengeluaran Haji LTAT bagi tujuan mengerjakan ibadah fardhu Haji adalah seperti berikut: 

 

• Jumlah pengeluaran maksimum dihadkan kepada RM10,000 sahaja.


• Pencarum juga perlu mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT.


• Hanya pencarum yang telah menerima surat pengesahan tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) sahaja boleh mengeluarkan simpanan persaraan bagi tujuan ini.

 

Pengeluaran Pendidikan LTAT membolehkan pencarum yang layak mengeluarkan sebahagian simpanan persaraan mereka daripada Tabung Angkatan Tentera bagi pembayaran balik jumlah yuran pendaftaran untuk semester 1 bagi tahun pertama (reimbursement on enrolment fee) bagi pencarum yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di universiti awam tempatan. 

 

Langkah ini adalah sebagai inisiatif untuk meringankan komitmen kewangan bagi pencarum yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. 

 

Terma dan syarat utama bagi Pengeluaran Pendidikan LTAT seperti berikut: 

 

• Pencarum yang mengikuti peringkat pengajian tinggi (Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana atau PhD) di universiti awam tempatan.


• Bayaran balik untuk yuran pendaftaran tahun pertama (yuran pendaftaran) sahaja.


• Jumlah pengeluaran maksimum dihadkan kepada RM3,200 sahaja

 

Kedua-dua pengeluaran ini hanya dibenarkan sekali sahaja sepanjang tempoh perkhidmatan serta tertakluk kepada had baki caruman di dalam Akaun 2. 

 

Berkuatkuasa pada 1 April 2022, akaun caruman ahli LTAT telah dibahagikan kepada Akaun 1 (60%) dan Akaun 2 (40%). 

 

Tarikh kuatkuasa bagi kedua-dua pengeluaran ini adalah pada 15 April 2022. - DagangNews.com