Lim Guan Eng diikat jamin RM1 juta | DagangNews Skip to main content

Lim Guan Eng diikat jamin RM1 juta

Lim Guan Eng. - Gambar oleh PN BBC

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Berdasarkan jumlah wang jaminan tersebut, Hakim Azura Alwi membuat keputusan untuk membenarkan Guan Eng membayar jaminan RM500,000 pada hari ini.

Namun, baki daripada jumlah keseluruhan wang jaminan itu perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada Isnin.

Azura turut mengeluarkan perintah penyerahan pasport antarabangsa dan diplomatik Ahli Parlimen Bagan itu kepada mahkamah hingga kes diselesaikan.

Pada masa yang sama, mahkamah turut mengingatkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan agar tidak mengeluarkan sebarang komen yang mampu mempengaruhi atau menghalang perbincangan semasa prosiding mahkamah sedang berlangsung.

"Apabila kes sudah didengar di mahkamah, adalah menjadi tanggungjawab masing-masing supaya tidak mengeluarkan apa-apa komen yang akan subjudis kepada kes ini.

"Aduan boleh dibuat kepada pihak tertentu sekiranya terdapat komen sedemikian," kata Azura.

Guan Eng berdepan tuduhan meminta rasuah bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang pada Mac 2011.

Beliau didakwa secara rasuah meminta suapan 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Baca: Lim Guan Eng mengaku tidak bersalah

Baca: Lim Guan Eng arrested for corruption charges, says SPRM

Azura turut memberitahu, Guan Eng tidak perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan susulan jumlah jaminan yang telah ditetapkan adalah tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin telah mencadangkan wang jaminan terhadap Guan Eng adalah sebanyak RM2 juta oleh dua penjamin serta memohon dokumen perjalanan tertutuh diserahkan kepada mahkamah.

"Jumlah tersebut adalah munasabah memandangkan status tertuduh adalah Ketua Menteri Pulau Pinang sewaktu melakukan kesalahan serta melanggar kepercayaan yang telah diberikan kepadanya," kata Shaharuddin. - DagangNews.com