Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, EADECO jalin kerjasama perkasa produk kenaf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, EADECO jalin kerjasama perkasa produk kenaf

Foto: Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Feb - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) dan EADECO Nonwoven Sdn. Bhd. (EADECO) selaku operator kilang non-woven thermobonding kenaf hari ini memeterai perjanjian bagi memperkasakan produk kenaf di pasaran.

 

Majlis perjanjian itu disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Zuraida Kamaruddin.

 

KPPK memaklumkan, kerjasama tersebut merupakan salah satu usaha kementerian melalui LKTN meningkatkan rantaian nilai selain memperluas permintaan produk berasaskan fiber kenaf di pasaran.

 

Jelasnya, kilang yang menghasilkan produk non-woven thermobonding kenaf itu terletak di Pusat Pemprosesan dan Pengeluaran Produk Kenaf di Setiu, Terengganu.

 

"Kilang tersebut mampu mengeluarkan 2,400 metrik tan produk non-woven thermobonding kenaf setahun dengan nilai RM18 juta untuk pasaran domestik dan eksport. 

 

"Kilang ini juga dapat menyokong pembangunan industri kenaf dan tanaman pokok kenaf sehingga 2,000 hektar di kawasan sekitar merangkumi negeri Terengganu dan Kelantan," menurut kenyataan tersebut.

 

KPPK berkata, usaha berterusan dilaksanakan agar permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri seperti pembinaan, automotif dan lain lain.

 

 

kppk
Datuk Zuraida Kamaruddin (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara LKTN dan EADECO di Putrajaya

 

 

"Ketika ini, produk membabitkan non-woven thermobonding secara lazimnya di pasaran digunakan sebagai bahan pembungkusan barangan, penebat dan bahan tetulang bagi pembinaan rangka bentuk rumah.

 

"Langkah untuk menjalinkan kerjasama strategik antara pihak awam dan swasta merupakan pendekatan serta hala tuju baru dalam usaha mempromosikan produk berasaskan Agrikomoditi negara," katanya. 

 

 

kppk

 

 

Katanya, melalui pelantikan EADECO sebagai operator kilang thermobonding, kementerian percaya ia akan menjadi pemangkin kepada kemajuan industri kenaf di Malaysia.

 

"Kementerian akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan industri kenaf diperkasa dari semasa ke semasa. Semoga usaha berterusan ini dapat memberi manfaat kepada rakyat dan kemakmuran negara," katanya. - DagangNews.com