Lelaki Malaysia ditahan di Norway atas tuduhan mengintip | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lelaki Malaysia ditahan di Norway atas tuduhan mengintip

Laporan portal berita VOA mengenai penahanan lelaki Malaysia disyaki terbabit dalam pengintipan di Norwary.

KUALA LUMPUR 12 Sept - Seorang warganegara Malaysia berusia 25 tahun ditahan kerana didakwa mengintip pejabat Perdana Menteri Norway, dan kementerian pertahanan negara serta pejabat kerajaan yang lain.

 

Menurut Norwegian Broadcasting Corporation (NRK), suspek didakwa melakukan operasi pengintipan dan risikan terhadap negara itu, lapor NewsInEnglish.

 

Suspek ditahan sekurang-kurangnya empat minggu sementara siasatan diteruskan dengan dua minggu pertama dalam pengasingan.

 

Pendakwa raya Norway, Thomas Fredrik Blom memaklumkan kepada NRK, tindakan mengasingkan suspek amat penting bagi mengelakkan potensi tinggi bahan bukti tercemar.

 

Agensi perisikan polis Norway, PST berkata, bukti menunjukkan kereta sewa suspek dirakam kamera pengawasan pada masa sama isyarat dikesan berhampiran lokasi terbabit.

 

Dia kemudiannya didakwa dengan 'signaletterretning'.

 

Menurut NewsInEnglish, portal yang berpangkalan di Oslo, signaletterretning ialah istilah Norway yang merujuk kepada pengumpulan maklumat menggunakan peranti isyarat elektronik.

 

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata, kedutaan Malaysia di Stockholm mengesahkan bahawa seorang lelaki dipercayai warganegara Malaysia telah ditahan di Norway selepas didakwa terlibat dengan aktiviti pengintipan.

 

"Kedutaan Malaysia di Stockholm sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan di Oslo, Norway, untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini," katanya.

 

"Kementerian luar akan terus memantau perkembangan kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya jika perlu," katanya. - DagangNews.com