Kurang insentif, harga kenderaan mahal, antara faktor perkembangan EV perlahan di negara ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kurang insentif, harga kenderaan mahal, antara faktor perkembangan EV perlahan di negara ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 April - Malaysia perlu menambah baik insentif dalam usaha menggalakkan lebih banyak pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di samping merancakkan lagi penggunaannya di negara ini, demikian menurut RHB Research. 

 

Penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang berkata, walaupun Volvo baru-baru ini mengumumkan pelancaran XC40 Pure Electric P8 akan dipasang di Malaysia bagi jualan tempatan dan eksport, tetapi insentif sedia ada amat diperlukan dalam tempoh jangka panjang untuk menarik lebih banyak jenama asing  mengeluarkan EV di dalam negara.

 

Katanya, buat masa ini, tempoh bayaran balik bagi kilang pengeluaran EV tempatan mungkin adalah panjang (3-5 tahun), disebabkan jangkaan penggunaan EV yang perlahan.

 

"Dengan insentif untuk CKD EV hanya bertahan sehingga tahun kewangan 2025 (FY25), pengeluar kereta mungkin tidak mempunyai keterlihatan dasar selepas itu untuk mendasari keputusan pelaburan mereka, justeru, mungkin tidak tertarik untuk mengeluarkan EV secara tempatan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau juga berpendapat, penggunaan EV di negara ini dijangka perlahan kemungkinan terutamanya disebabkan kos kenderaan yang tinggi dengan pilihan harga paling murah di Malaysia ialah Hyunda Kona berharga RM150,000 di samping kekurangan kemudahan pengecasan setakat ini.

 

Tambahan pula, katanya, pengeluar kenderaan jenama tempatan tidak mempunyai perancangan untuk mengeluarkan bateri EV mampu milik pada tahun ini.

 

"Meskipun Proton akan mengimport, mengedar dan mengendalikan Smart Automotive EV, anggaran awal mencadangkan harga jualan adalah sekitar RM140,000 hingga RM200,000, dan ini tidak memenuhi majoriti kelompok pembeli Proton," jelasnya.

 

 

auto

 

 

Secara keseluruhan, RHB Research masih mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif tahun ini. 

 

Firma itu menjangkakan prestasi separuh pertama yang kukuh, sebelum kembali perlahan pada separuh kedua memandangkan kebanyakan pengedar automotif mungkin berdepan tekanan margin akibat kos input yang lebih tinggi dan tawaran harga diskaun bagi menyokong jualan kenderaan.

 

"Setakat ini, kami mengekalkan unjuran jualan keseluruhan industri (TIV) sebanyak 540,000 unit berbanding Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 600,000 unit. 

 

"Kami juga tidak memberi sebarang saranan 'beli' terhadap mana-mana syarikat automotif di bawah liputan kami, sebaliknya lebih menyukai MBM Resources Bhd. kerana diterajui hasil bagi FY22 sebanyak 7%," katanya.

 

Menurut Khai Xhiang, kerajaan juga dijangka tidak melanjutkan lagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) setelah ia berakhir 31 Disember lalu.

 

MAA ketika ini sedang memohon untuk melanjutkan pengecualian cukai ini sehingga akhir tahun ini berikutan masalah kekurangan cip yang masih berlaku.

 

"Semakan kami dengan pengurusan syarikat pelbagai jenama mendapati bahawa tiada sebarang peningkatan dalam masa menunggu pelanggan. Perang Rusia-Ukraine dan sekatan di China terus menjejaskan bekalan kereta. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya Sime Darby Bhd. akan paling terjejas, kerana beberapa CBU BMWnya dibuat di Eropah, dan menghadapi gangguan permintaan dan bekalan di China," katanya. 

 

Sehubungan itu, beliau berkata, kekurangan komponen secara berterusan dan kelulusan bank yang ketat yang pembiayaan kenderaan boleh memberi kesan buruk kepada jualan kenderaan.

 

"Ini ditambah dengan virus mutasi COVID-19, kami tidak menolak kemungkinan sekatan pergerakan seterusnya. Pada masa sama, kelemahan ringgit juga memberi kesan buruk kepada margin," tambahnya. - DagangNews.com