Kulim (Malaysia) Bhd anjur acara larian hijau, penanaman pokok untuk inisiatif lestari | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kulim (Malaysia) Bhd anjur acara larian hijau, penanaman pokok untuk inisiatif lestari

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Kulim (Malaysia) Bhd menganjurkan acara larian hijau pertamanya bertemakan ‘Jom Hijau’ di Kulim Eco-TRAIL Retreat (KETR) di Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. 

 

Larian sejauh 4 kilometer itu menyaksikan penyertaan kira-kira 370 pekerja dan keluarga mereka yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Kulim bagi memberi inspirasi serta motivasi kepada warga kerjanya untuk menerapkan gaya hidup sihat.

 

Pengarah Urusan Kulim, Mohd Faris Adli Shukery berkata, keseimbangan kerja dan kehidupan bukan sekadar konsep di Kulim, namun komitmen bersama yang diusahakan sebagai sebahagian daripada budaya syarikat. 

 

Katanya, kesejahteraan fizikal dan mental yang baik adalah kunci bagi mencapai keseimbangan seterusnya meningkatkan pertumbuhan profesional serta peribadi. 

 

"Kami berharap acara larian hijau akan menggalakkan pekerja untuk kekal aktif dan cergas bersama keluarga tersayang.

 

"Pada masa sama, mengeratkan semangat kerja berpasukan dan kemesraan sesama rakan sekerja dari semua unit operasi sebagai platform untuk berhubung, ukhwah serta mengenali antara satu sama lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, pihak pengurusan yang diketuai oleh Mohd Faris menanam pelbagai pokok hutan tropika di sepanjang Sungai Johor termasuk Pokok Merbau iaitu pokok kebangsaan, Pokok Johor, kempas dan lain-lain.

 

 

kulim

 

 

Lokasi larian hijau mempunyai kepentingan yang istimewa apabila Kulim meraikan dan memperingati pembukaan semula KETR yang ditutup selama tiga tahun akibat pandemik COVID-19 dan kemudiannya menjalani kerja-kerja ubah suai. 

 

Bangunan itu dibina pada 1930-an semasa zaman kolonial sebagai kediaman pengurus ladang dan telah diubah suai menjadi pusat peranginan, pusat latihan dan tarikan utama pelancong yang terletak hampir 50 meter dari pinggiran Sungai Johor serta menawarkan pelbagai kemudahan dengan panoramanya. - DagangNews.com