KUALA LUMPUR 17 Feb - Prospek Kossan Rubber Industries Bhd. kekal mencabar dan ini mendorong Maybank Investment Bank (IB) mengunjurkan kerugian syarikat pengeluar sarung tangan getah itu akan berterusan pada dua suku berikutnya.
Malah, firma itu juga mengulangi saranan 'jual ' terhadap Kossan dengan harga sasaran lebih rendah pada 78 sen daripada RM1.03 sesaham sebelum ini.
Menurutnya, kadar penggunaan kilang yang rendah sekitar 50% dan kos operasi semakin meningkat akan terus mempengaruhi prestasi kewangan Kossan dalam tempoh satu atau dua suku akan datang.
"Mengambil kira faktor ini, kami menyemak turun unjuran keuntungan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 85% dan 24%.
"Kadar penggunaan dan harga jualan purata (ASP) juga masing-masing dikurangkan kepada 50% bagi FY23 dan AS$21/AS$22 per 1,000 keping bagi FY23/FY24 (daripada anggaran sebelum ini, AS$22/AS$23).
"Bagi kami, semakan semula ini adalah sejajar dengan jangkaan bagi syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputan kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Maybank IB juga mendapati kedudukan tunai Kossan sebanyak RM2 bilion kekal kukuh setakat akhir Disember 2022.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, Kossan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM2.5 juta daripada keuntungan bersih RM218.67 juta dengan pendapatan merosot 47.9% kepada RM481.45 juta daripada RM924.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagi tahun kewangan penuh FY22, keuntungan bersih Kossan merudum kepada RM156.62 juta daripada RM2.86 bilion yang dilaporkan tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan merosot 65.1% kepada RM2.32 bilion daripada RM6.63 bilion sebelumnya, disebabkan oleh perolehan lebih rendah daripada bahagian sarung tangan dan bilik bersih.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Kossan berkata, pendapatan bahagian sarung tangan jatuh sebanyak 68.1% kepada RM1.99 bilion pada FY22 berbanding dengan RM6.26 bilion pada FY21 disebabkan ASP dan volum jualan lebih rendah.
Setakat 10.39 pagi ini, harga saham Kossan susut 1 sen atau 0.88% kepada RM1.12 sesaham dengan 1.02 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








