Kos bahan binaan meningkat, kekurangan buruh jejas jualan hartanah yang dijangka mendatar pada 2023 – MayBank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kos bahan binaan meningkat, kekurangan buruh jejas jualan hartanah yang dijangka mendatar pada 2023 – MayBank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) berhati-hati optimis terhadap sektor hartanah yang berterusan terjejas memandangkan jualan hartanah dijangka mendatar akibat peningkatan kos bahan binaan dan kekurangan buruh.

 

Menurut firma itu, pemaju pada masa ini menggunakan pendekatan tunggu dan lihat sementara menunggu hala tuju ekonomi yang lebih jelas dan akan melancarkan jualan hartanah lebih agresif pada suku kedua tahun ini.

 

“Keutamaan kami kekal pada pemaju pembandaran yang mempunyai penggearan rendah,” katanya yang melihat taman industri dan kediaman bertanah terus digemari.

 

Mengulas lanjut berkenaan pendekatan tunggu dan lihat, firma itu berkata pemaju berhati-hati melancarkan projek baharu ekoran peningkatan kos bahan binaan dan potensi kenaikan kadar faedah, selain isu bekalan buruh masih berterusan dan tidak dapat diselesaikan.

 

“Untuk mengelakkan kos pembinaan yang lebih tinggi dan kemungkinan kelewatan dalam penyempurnaan projek, sesetengah pemaju seperti Tambun Indah Land Bhd dan Sime Darby Property memperlahankan pelancaran mereka dan telah menetapkan sasaran jualan yang lebih rendah atau mendatar untuk tahun kewangan 2023 (FY23).

 

Sementara itu, Eco World Development Group Bhd yang mempunyai kunci kira-kira yang kukuh sedang mencari untuk menambah simpanan tanahnya (200 hingga 400 hektar) untuk projek perbandaran atau perindustrian pada tahun ini,” katanya.

 

Firma itu berkata, laporan kewangan syarikat pemaju pada suku keempat yang berakhir pada Disember tahun lalu adalah pelbagai, di mana untung bersih SP Setia Bhd. dan Tambun Indah Land sejajar dengan jangkaan.

 

Sementara itu, untung bersih Sime Darby Property dan Sunway Bhd. menjangkaui jangkaan manakala UEM Sunrise Bhd. di bawah jangkaan disebabkan caj cukai yang lebih tinggi.

 

“Dari segi jualan hartanah, jualan Sime Darby Property dan Tambun Indah Land melebihi sasaran syarikat, SP Setia sejajar namun Sunway Bhd dan UEM Sunrise rendah daripada jangkaan,” katanya.

 

Firma itu kekal ‘neutral’ terhadap sektor hartanah dengan pilhan utamanya Eco World Development dan Sime Darby Property memandangkan kedua-dua pemaju mempunyai rangkaian produk yang pelbagai dan kunci kira-kira sihat. -DagangNews.com