Korea Selatan, Jepun boleh bantu ASEAN dalam melonjakkan ekonomi dan menangani perubahan iklim - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Korea Selatan, Jepun boleh bantu ASEAN dalam melonjakkan ekonomi dan menangani perubahan iklim - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta, Indonesia pada 6 September 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA 7 Sept - Malaysia percaya penyertaan dan sokongan Korea Selatan menerusi Inisiatif  Perpaduan Korea Selatan-ASEAN dan strateginya dalam Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik akan sealiran dengan usaha bersama rantau ini untuk membina semula negara anggotanya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.   

 

Beliau berkata, inisiatif Korea Selatan yang menyasarkan kepada pemulihan dan daya tahan ekonomi berikutan impak COVID-19,  persaingan geopolitik dan ancaman perubahan iklim mampu memudah cara celik digital, teknologi inovatif dan kesalinghubungan infrastruktur digital bagi mempromosi pertumbuhan ekonomi dan memperkasakan insan di rantau ini.

 

"Kami menekankan kepentingan pertumbuhan hijau dan kemampanan iklim, seiring dengan mengoptimumkan penggunaan tanah untuk keterjaminan makanan. Keutamaan kami ialah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang rendah karbon dan berdaya tahan terhadap iklim sambil menumpukan pemuliharaan  sumber dan ekosistem negara," katanya.   

 

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menghadiri sidang kemuncak itu hari ini yang dipimpin Presiden Indonesia, Joko Widodo bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 semalam.

 

Memandangkan usaha menangani perubahan iklim memerlukan tindakan bersama daripada semua negara, Anwar berkata, Malaysia mengalu-alukan penubuhan Pusat Kerjasama ASEAN-Korea Selatan untuk Keneutralan Karbon dan Peralihan Hijau.

 

Beliau juga mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan satu Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-Korea Selatan bersempena ulang tahun ke-35 hubungan dialog ASEAN-Korea Selatan tahun depan dan ingin menyaksikan  Kerjasama ASEAN-Korea Selatan mendukung trend mega transformatif di masa hadapan.


 
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26 yang dihadir Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, Anwar berkata, kedua-dua pihak perlu menggandakan usaha untuk menangani perubahan iklim dengan menyokong penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

 

 

anwar

 

 

Beliau berkata, ASEAN boleh menggunakan kepakaran Jepun dalam membangunkan teknologi tenaga bersih dan amalan terbaik dalam tenaga boleh diperbaharui menerusi Perkongsian Kecekapan Tenaga ASEAN-Jepun dan Agenda Iklim ASEAN-Jepun 2.0.

 

"Perubahan iklim menjadi ancaman bukan hanya kepada negara kami tetapi juga kepada planet ini," kata Anwar. - DagangNews.com