Kontrak RM190 juta JPJ diputuskan sebelum Farhash beli saham HeiTech Padu lagi - Anthony Loke | DagangNews Skip to main content

Kontrak RM190 juta JPJ diputuskan sebelum Farhash beli saham HeiTech Padu lagi - Anthony Loke

HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP. Gambar hiasan Bernama
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 17 April - Pemberian kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190.1 juta kepada HeiTech Padu Berhad bukan disebabkan kerana Datuk Farhash Wafa Salvador merupakan salah seorang pemilik saham syarikat itu.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebaliknya kontrak tersebut dianugerahkan kepada HeiTech Padu sebelum Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim membeli kepentingan dalam syarikat teknologi maklumat (IT) itu.

 

Katanya, perlu ditegaskan mengenai kronologi tender ini yang mana Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan memperaku tender kepada HeiTech Padu pada 24 November 2023 lagi selepas sistem tender terbuka ini dibuat.

 

Kemudian pada 2 Februari 2024, Kementerian Kewangan memberi kelulusan kepada perakuan tender ini sedangkan Farhash hanya membeli saham dalam HeiTech Padu pada 16 Mac 2024, kata Siew Fook.

 

"Kelulusan tender ini bukannya semalam tetapi dibuat pada 2 Februari lagi, cumanya seperti biasa surat setuju terima hanya dikeluarkan selepas beberapa proses dalaman.

 

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima kontrak RM190 juta daripada JPJ selenggara infrastruktur ICT, sistem mySIKAP

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kontrak JPJ kepada HeiTech Padu untuk 3 tahun, Anthony Loke jelaskan dakwaan nilai kontrak tinggi

 

"Tetapi keputusan daripada MoF telah dibuat pada 2 Februari 2024 dan Farhash hanya membeli saham sebanyak 15.9% dalam HeiTech Padu pada 16 Mac 2024.

 

"Maksudnya keputusan tender ini telah dibuat sebelum Datuk Farhash membeli saham dalam HeiTeh Padu. Ia tiada kena mengena selepas penglibatan beliau dalam syarikat tersebut," katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

 

Sementara itu, Siew Fook memaklumkan pertikaian beberapa pihak berhubung kontrak JPJ kepada HeiTech Padu telah dibangkitkan sendiri oleh Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pagi ini.

 

"Perkara ini telah dibangkitkan oleh Perdana Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pagi tadi selepas ada pihak-pihak membuat sindiran bahawa HeiTech Padu dapat kontrak ini kerana pemilik saham syarikat tersebut ada kaitan dengan Perdana Menteri iaitu Farhash mantan setiausaha politik Anwar," tegasnya.

 

HeiTech Padu kelmarin memfailkan kepada Bursa Malaysia mengenai kontrak bernilai RM190.01 juta daripada JPJ bagi menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur ICT serta Sistem Informasi Kenderaan dan Pemandu (mySIKAP) di pusat data dan semua pejabat JPJ.

 

Kumpulan itu berkata, kontrak itu adalah selama 36 bulan bermula 1 Mei 2024 hingga 30 April 2027.

 

loke
ANTHONY LOKE SIEW FOOK./ Gambar MoT

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech terima kontrak RM58.9 juta daripada LHDN bagi perkhidmatan rangkaian internet generasi akan datang

 

ARTIKEL BERKAITAN: HeiTech Padu terima lanjutan kontrak bernilai RM13.1 juta selenggara sistem myIMMs Jabatan Imigresen

 

Memetik laporan, kontrak JPJ itu adalah kontrak kerajan ketiga yang diterima syarikat tersebut pada tahun ini.

 

Yang pertama bernilai RM58.89 juta untuk perkhidmatan rangkaian generasi akan datang untuk Lembaga Hasil Dalam Negeri yang diumumkan pada Januari.

 

Satu lagi ialah lanjutan kontrak pada Mac bernilai RM13.11 juta daripada Jabatan Imigresen untuk penyelenggaraan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

 

Datuk Farhash Wafa Salvador menjelaskan pegangan saham dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikat Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan bersamanya dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

 

Bekas pemimpin PKR itu berkata, Rosetta Partners Sdn Bhd adalah milikan penuh syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd yang mana ia dimiliki bersama dengan Sultan Muhammad V, bukannya milik mutlaknya sebagaimana dakwaan pihak tertentu.

 

Rosetta Partners Sdn Bhd, memperoleh 15.91% pegangan HeiTech Padu pada bulan lepas.  - DagangNews.com