Burung camar terbang melayang,
Hinggap di dahan pohon jati.
Secangkir air untuk dikenang,
Manisnya terasa di hati
Di sebalik kepulauan yang berserakan di gugusan Kepulauan Melayu, dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Aceh ke Ambon, Bandar Seri Begawan ke Bentan, dari Patani ke Pontianak, ada satu budaya halus yang menyatukan kita — secangkir air sebagai lambang penyambutan, penyembuhan dan perhubungan. Ia bukan sekadar pelepas dahaga, tetapi tanda hormat, kasih dan kesinambungan warisan yang mendalam.
Dahulu kala, saat tetamu tiba di ambang pintu rumah Melayu, sambutan pertama bukanlah dalam bentuk kata-kata, tetapi sehelai sirih dan seulas pinang, kapur dan gambir — pembuka bicara yang penuh adat.
Setelah berbicara, barulah disusuli secangkir minuman yang menyegarkan. Ia bukan teh tarik, kopi segera, sirap atau soda. Ia adalah air tradisi — air yang berperisa dari alam, diramu dengan kasih, dan dihidang dengan penuh makna.
Khazanah Secangkir Air
Di rumah-rumah kampung, para ibu dan nenek merendam air asam jawa semalaman untuk meredakan batuk, air bunga telang untuk menyegarkan mata dan semangat, atau air kunyit dan halia untuk melancarkan peredaran darah wanita selepas bersalin.
Di tanah Jawa, tersohor wedang jahe, wedang serani, dan wedang uwoh — minuman herba panas yang menghangatkan tubuh dan menenangkan fikiran. Di Kelantan, ada air pegaga dan air cekur yang dipercayai menyuburkan tubuh dan minda.
Semua ini adalah bukti bahawa nenek moyang kita bukan sahaja mahir dalam merawat tubuh dengan alam, tetapi juga dalam menyulam budaya ke dalam setiap tegukan.
Sayangnya, budaya secangkir air ini semakin tenggelam ditelan arus komersial. Teh berjenama, kopi bergula dan minuman bersoda kini lebih mudah didapati dan lebih rancak dipromosi. Khasiat minuman warisan kian dilupakan, dan dengan itu, hilanglah satu sisi penting budaya kita — hubungan manusia dengan alam melalui tradisi seharian.

Kembali kepada Akar Umbi
Soalnya, mengapa tidak kita perkenalkan kembali tradisi ini? Di tengah-tengah kebangkitan kesedaran terhadap kesihatan dan kelestarian, minuman warisan menawarkan pilihan yang bukan sahaja sihat, tetapi juga bersifat lestari dan menyatukan akar budaya.
Bayangkan restoran moden menyajikan air pandan selasih, air roselle madu, atau air halba dan madu dalam cangkir tembaga, kayu atau buluh.
Atau seperti di Yogyakarta, teko dan cawan poci. Setiap acara rasmi bermula dengan secangkir air bunga rampai yang menenangkan sebelum wacana dimulakan. Ini bukan nostalgia — ini visi.
Awet Muda dengan Ramuan Warisan
Dalam budaya Melayu, pemulihan selepas bersalin amat ditekankan. Di sinilah dunia minuman tradisional menyerlah sebagai tonggak perapian wanita Melayu.
Minuman seperti:
• Air kunyit, halia dan manjakani – mengecutkan rahim, membuang angin, mencantikkan kulit
• Air pegaga – menyegarkan tubuh dan minda
• Air halba dan madu – memperbanyakkan susu badan dan memanaskan badan
• Air serai wangi dan daun pandan – melangsingkan badan dan menyegarkan nafas
• Air rempah jamu – membentuk kembali tubuh yang sihat dan muda
Minuman-minuman ini menjadi pelengkap kepada amalan bertungku, berurut, dan berbengkung. Dalam dunia moden hari ini, konsep postpartum wellness semakin dihargai, dan inilah masanya kita bangkitkan semula kebijaksanaan Tok Bidan dalam penjagaan tubuh secara semula jadi.
Dalam era kesedaran kesihatan global, minuman tradisional kita berpotensi besar diketengahkan sebagai alternatif semula jadi yang menyihatkan. Ramuan seperti jahe(halia), lengkuas, kayu manis, cengkih, bunga lawang, halba, asam jawa dan madu asli terbukti mengandungi antioksidan, anti-radang dan menyokong sistem imunisasi.
Secangkir air bukan hanya minuman — ia adalah tradisi, perapi, dan lambang kasih sayang sesama insan. Ia menghubungkan manusia dengan alam, wanita dengan kesejahteraannya, dan masyarakat dengan akar budayanya.

Warisan di Dalam Cangkir
Secangkir air bukan hanya minuman. Ia adalah warisan. Ia adalah budaya. Ia adalah identiti. Jika kita mampu mengangkat kembali cerita-cerita lama, hikayat dan lagu rakyat, mengapa tidak kita angkat kembali rasa dan air yang pernah menyatukan nenek moyang kita?
Kerana di dalam secangkir air Nusantara, terkandung rasa rindu pada bumi, pada adat, dan pada diri kita sendiri. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]








