Saya membantah pandangan Murray Hunter, seorang penulis Australia yang menyarankan sejarah negara wajar ditulis semula berikutan bukti tapak arkeologi di Kedah bertarikh 26 Jun 2024.
Tulisan Hunter bahawa “The Malay identity, as an alternative to identifying with the river kingdom or Sultanate they lived within (e.g. Orang Johor), was strengthened by the British in the 1940s” adalah satu sinopsis sejarah yang terlalu ringkas dan berbahaya, kerana ia mengabaikan kesinambungan budaya dan evolusi politik yang telah berlangsung selama berabad-abad di dunia Melayu.
Identiti Melayu bukanlah ciptaan penjajah, dan bukan juga reaksi politik semata-mata pada abad ke-20. Identiti ini berakar umbi dalam struktur sosial Dunia Melayu, bahasanya, sistem kepercayaan, adat resam, dan struktur politik yang terbina sejak zaman-berzaman.
Penggunaan istilah seperti Orang Johor atau Orang Perak tidak menafikan kewujudan satu identiti bersama sebagai bangsa Melayu — sebuah komuniti yang berasaskan bahasa, budaya dan salasilah yang merentasi seluruh kepulauan, dari Sumatera ke Riau-Lingga, ke Semenanjung Tanah Melayu.
Mendakwa bahawa British “menguatkan” identiti ini pada tahun 1940-an adalah satu ironi yang ketara. Ia memisahkan identiti Melayu daripada konteks sejarah, budaya, linguistik dan geopolitik yang sebenar, dan menggambarkannya sebagai alat ciptaan politik yang direka semata-mata untuk kepentingan kuasa.
Pandangan ini bukan sahaja menafikan evolusi organik bangsa Melayu, malah bercanggah dengan rujukan penulis sendiri kepada istilah “Tanah Melayu” — satu pengiktirafan tersirat bahawa tanah ini sejak dahulu telah dikenali dengan orang Melayu, kerajaan mereka, dan pandangan alam mereka.
Harus kita ingat, inilah pentadbiran British yang sejak awal 1800an — telah merombak keseimbangan sosial dan demografi di Semenanjung Tanah Melayu ketika itu.
Mereka membawa masuk buruh secara besar-besaran dari China dan India — bukan untuk membentuk masyarakat majmuk, tetapi untuk memenuhi keperluan ekonomi kolonial, khususnya dalam perlombongan bijih timah dan perladangan - satu penjarahan ekonomi terhadap khazanah perut bumi Tanah Melayu ini yang membina empayar British.
Menjelang awal abad ke-20, hasilnya ialah ketidakseimbangan demografi di mana penduduk Melayu merosot kepada hanya 49%, manakala imigran (yang pada asalnya bersifat sementara) membentuk 51%.
Ketidakseimbangan ini — dari segi ekonomi dan demografi — mencetuskan rasa cuas tentang hak dan kedaulatan Melayu di tanah air sendiri.
Dan apabila kemerdekaan dirundingkan, orang Melayu — dengan semangat kenegaraan yang tinggi — menerima kompromi luar biasa: bersetuju memberikan kewarganegaraan kepada sebahagian besar penduduk bukan Melayu yang dibawa masuk oleh penjajah, menerusi prinsip jus soli yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Reid. Ini bukan satu konsesi kecil.
Ia adalah pengorbanan besar dalam pembinaan negara bangsa — yang terbukti berjaya sekurang-kurangnya pada era 1970-an.

MALAYAN UNION
Kita juga tidak boleh lupa bahawa British yang sama cuba memaksa penubuhan Malayan Union — yang bukan sahaja menghapuskan kuasa Raja-Raja Melayu, tetapi turut memberikan kewarganegaraan secara longgar kepada imigran tanpa rundingan adil dengan Raja-Raja atau rakyat peribumi.
Gelombang bantahan besar-besaran yang tercetus bukanlah tanda penolakan atau kebencian, tetapi manifestasi semangat mempertahankan perjanjian asal dan menegakkan struktur politik dan jiwa bangsa yang masih berbaki.
Oleh itu, untuk mendakwa bahawa identiti Melayu diperkukuh oleh British adalah suatu penipuan. Sebaliknya, Melayu bangkit menentang dasar penjajah — terhadap Malayan Union, terhadap kerangka Suruhanjaya Reid, dan terhadap manipulasi demografi — yang membangkitkan semula kesedaran politik dan identiti moden bangsa Melayu.
Tambahan pula, kenyataan umum Hunter:
“The stark reality of Malaya is that with the exception of direct descendants of the Candi, Langkasuka empires, and the Orang Asli, and perhaps some of the sea gypsies, all the peoples of Malaya today, once migrated to Tanah Melayu at some time in the past. There are many Chinese, Indian and Arab-Indians whose families have been on the peninsula for many generations more than many Malay families.”
…menunjukkan percanggahan dalaman yang nyata. Sekali lagi, jika istilah “Tanah Melayu” digunakan untuk menggambarkan tempat semua kumpulan kononnya berhijrah — maka ini juga adalah pengiktirafan bahawa Tanah ini sememangnya Tanah Melayu. Sesungguhnya menafikan kedudukan Melayu sebagai penduduk asal sambil menggunakan istilah Tanah Melayu adalah penuh ironi.
Dakwaan tersebut juga ternyata mengelirukan apabila menyamakan migrasi sejarah dengan hak asal usul negara. Migrasi memang lumrah dalam sejarah manusia, tetapi persoalan kenegaraan terletak pada soal kedaulatan politik, dominasi budaya dan akar sejarah.
Bangsa Melayu, menerusi kerajaan penuh tamadun — dari Langkasuka, Srivijaya, Melaka, Johor-Riau — telah menubuhkan sistem pentadbiran, bahasa (Bahasa Melayu), adat resam dan kesinambungan rohani yang membentuk DNA awal tamadun rantau ini.
Mereka bukan kelompok terasing, tetapi masyarakat Kepulauan Melayu yang terhubung dengan dunia — melalui diplomasi, perdagangan, kesusasteraan dan undang-undang.
Untuk menyamakan orang Melayu sebagai “pendatang” atau menggambarkan identiti mereka sebagai ciptaan penjajah adalah satu bentuk penghapusan sejarah, bukan semata-mata penceritaan semula. Ini bukan sekadar kesilapan akademik — ini satu bentuk pengkhianatan warisan.
Kita tidak akan dapat membina negara yang bersatu jika kita berpijak atas penafsiran sejarah yang selektif. Identiti Melayu bukan hadiah dari penjajah — ia adalah warisan yang diwarisi, dipertahankan dan berevolusi sepanjang perubahan zaman.
Tulis ikut fakta
Dan ia akan terus berkembang — tetapi bukan melalui penulisan semula sejarah yang memilih-milih fakta.
Jika kita benar-benar mahu membina Malaysia yang bersatu padu, kita mesti bermula dengan kejujuran sejarah.
Identiti Melayu tidak dicipta pada tahun 1940-an. Ia dibentuk, dipupuk dan diperkasakan sejak berzaman — melalui hikayat, undang-undang, adat perpatih dan adat temenggung, melalui warkah diplomatik ke China dan Arab, melalui ketahanan orang kampung dan kehalusan budaya istana.
Kita tidak takut pada kebenaran sejarah kita — kita menerima hakiki. Tetapi kita menolak sekeras-kerasnya usaha mengkotak-katikkan, mempolitik atau memesongkannya demi agenda semasa yang sempit.
Nota akhir: Ya, saya sangat bangga dengan warisan Melayu saya, tetapi saya juga menghargai semua budaya rakyat Malaysia. Saya mengajak semua untuk mengenali budaya, adat dan ilmu bangsa Melayu, agar kita saling menghormati dan tidak meruntuhkan tanah air yang begitu indah ini. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]








