Rainforest World Music Festival 2025: Aku datang demi Kulintang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rainforest World Music Festival 2025: Aku datang demi Kulintang

Oleh NINOT AZIZ

Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025 bukan sekadar sebuah festival — ia adalah satu pengalaman unik, satu sulaman budaya menakjubkan dibina dari bebenang warisan masyarakat seantaro dunia  - Satu Bumi, Satu Cinta.

 

Lebih daripada persembahan muzik, RWMF di Kuching, Sarawak menjadi ruang pertembungan bunyian dan jiwa, di mana suara pewaris lama bangkit bergema melalui rentak gendang yang memukau, alunan irama dan kisah-kisah lama yang diwariskan dari generasi ke generasi.

 

Tahun ini, nadi festival berdetik kuat melalui kehadiran pemuzik dan pembudaya luar biasa yang membawa bersama semangat dan harapan tanahair masing-masing.

 

 

RWMF

 

RWMF

 

 

Kuntaw Mindanao dari Selatan Filipina menyerlah dengan semangat warisan budaya mereka - keindahan muzik tradisi Kulintang dan Agong, yang begitu erat hubungannya dengan gamelan dan gong kita sendiri.

 

Bahasanya yang mirip Bahasa Melayu seperti Kenduri. Langit. Persembahan mereka, dari gendang ke biola, bersama kulintang, membangkitkan tenaga seluruh penonton, menjadi satu suara. semangat. seni Asia Tenggara sejak berabad lamanya. “Kami yang pertama,” ujar ketua kumpulan Neil Cervantes,  membawakan gema harapan tanah airnya.

 

Lamiae Naki, dari Fez Maghribi bersama suami, Nat Huskamp dan Manuel R dari kumpulan Seffarine, membawa kita menyusuri warisan seribu tahun — menggabung irama Andalusia dari Sepanyol dan mistik Maghribi bersama sentuhan flamenco yang sangat mengasyikkan.

 

Persembahan mereka adalah kisah cinta pandang pertama, impian dan pengembaraan — gabungan Timur dan Barat, nostalgia terhadap zaman begitu aman ratusan tahun dahulu yang memungkinkan muzik dan ilmu berkembang subur.

 

Gaga Gundul, gabungan unik pemuzik Perancis dan Gamelan 16 dari Indonesia, menghubungkan benua dengan  irama Jawa dan avant-garde Perancis yang elektrik dan dramatik. Muzik mereka bagai ribut — liar, teaterikal dan mengusik jiwa — menyeru bayang dan teka-teki pelbagai budaya.

 

Dari pedalaman Siberia yang beku dan terpencil, muncul OTYKEN — garang, bernaluri, dan tulen. Dengan alat muzik tradisional, nyanyian dari tekak bergabung dengan kekuatan rentak, persembahan mereka bukan sekadar muzik, tetapi satu upacara visual — meraikan alam, jati diri dan hubungan abadi antara tanah dan roh.

 

Kemudian, kita ditemukan dengan KULAIVI dari Hawai’i — persembahan mereka adalah satu penghormatan. Pada alam. Pada warisan bahasa ibunda. Pada tradisi. Kisah kebangkitan dan pemberontakkan lembut — bahasa yang pernah dibisukan, tanah yang sekian lama dinafikan, dan hubungan suci antara manusia, tempat, dan tujuan hidup. Menerusi keindahan gerak tari Hula dan seruan Aloha ʻĀina (cinta terhadap tanah), KULAIVI bukan sahaja mempersembahkan hiburan, tetapi juga penyembuhan — untuk diri, untuk kita, dan untuk bumi.

 

Pertemuan dengan Seppuku Pistols, Pengembara Masa dari Zaman Edo, di RWMF 2025 pula membawa penonton ke dimensi lain — manifestasi sebenar pertemuan budaya dan falsafah.

 

 

RWMF

 

 

Dalam sidang media RWMF 2025, Seppuku Pistols memukau bukan sahaja dengan tenaga muzik, malah cara hidup, berakar dari zaman Edo Jepun — satu era sebelum industrialisasi, di mana kesederhanaan, kehormatan dan keharmonian dengan alam menjadi teras kehidupan.

 

“Kami datang dari zaman Edo,” ujar mereka, berpakaian hasil buatan tangan dan membawa gendang taiko yang mereka buat dan baik pulih sendiri. “Selepas Edo, datang Meiji — zaman moden. Tapi kami bertanya, kenapa terburu-buru membina pencakar langit, sedangkan kita boleh bina rumah panjang?”

 

Persembahan mereka lebih daripada sekadar muzik — ia adalah kenyataan hidup, falsafah tahan uji, dan jemputan untuk kita menilai semula maksud kelestarian.

 

“Kami tidak cuba untuk jadi lestari — ia sememangnya cara hidup kami. Kami hasilkan pakaian sendiri. Alat kami. Kami baiki sendiri. Kami hidup seperti nenek moyang kami — dalam keseimbangan.”

 

Ditanya tentang generasi muda, mereka menjawab dengan rendah hati dan penuh harapan:

“Kami menanam ‘benih’ kesedaran.  Mungkin suatu hari nanti, anak-anak muda akan berkata, ‘Itu sesuatu yang hebat.’

 

Di tengah hutan hujan Borneo, Seppuku Pistols bukan sekadar mempersembahkan muzik mereka — mereka membangkitkan kesedaran.

 

 

RWMF
Penulis bersama Kuntaw Mindanao di Rainforest World Music Festival (RWMF) 2025

 

 

Senyuman dan ritma gendang itu tidak mengenal bangsa. Satu jiwa. Satu ritma. 

 

Bersama-sama, mereka sebahagian daripada suara-suara luar biasa yang mengingatkan kita bahawa muzik bukan sekadar hiburan — ia adalah penjagaan warisan, laungan jatidiri, dan doa keamanan.

 

Di tengah-tengah rimba tropika, dunia tidak sekadar datang untuk mendengar — tetapi untuk berhubung, untuk mengingat, untuk saling menghormati. 

 

Satu Bumi. Satu Cinta. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Negara 2025/2026 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA