Maka, saya melangkah dengan tekad untuk menjadi secerah cahaya walaupun kecil, dalam dunia yang adakalanya dibungkus kelam. Langkah saya bukan sekadar rentak kaki menuju destinasi, tetapi suatu ikhtiar rohani mencari makna dalam setiap pertemuan, setiap detik, dan setiap pengalaman.
Di bumi asing yang kini semakin saya kenali sebagai tempat mengasah jiwa, saya belajar untuk tersenyum kepada mereka yang asing, menghulur tangan kepada yang memerlukan, dan mendengar dengan hati kepada sesiapa yang ingin berkongsi cerita, meskipun dalam bahasa yang bukan ibunda saya.
Saya memandang sekali lagi ke arah laut, tempat mentari akan terbit esok pagi. Ombak yang menghempas pantai membawa irama ketenangan, seakan membisikkan harapan.
Dalam diam, saya berdoa agar setiap langkah saya seterusnya terus diterangi oleh hikmah, agar setiap pertemuan menjadi pelajaran, dan agar setiap detik dalam pengembaraan ini menjadi sebahagian daripada kitab hidup yang saya tulis dengan penuh kesyukuran.

Langkah saya kemudian menyusur ke sebuah motel di tepi pantai, beg sandang menggalas bahu, dan hati membawa harapan. Mentari belum menampakkan wajahnya di ufuk timur, namun saya tahu sinarnya sudah sedia menanti.
Waktu sudah menghampiri petang ketika sekumpulan kenalan baharu mengajak saya bermalam di kediaman mereka, tetapi saya menolak dengan hormat, memaklumkan bahawa saya telah menempah bilik di sebuah motel.
Setibanya saya di motel tersebut, hati saya sedikit terkejut. Motel sudah penuh dan hanya ada satu bilik kosong — sebuah dorm berkongsi dengan beberapa wanita pelancong asing, dan saya satu-satunya lelaki.
Antara motel di Gisborne
Bilik itu kecil dan terbuka seperti sebuah dewan, katil-katil disusun hampir bersebelahan. Mereka menyambut saya dengan ramah, seolah-olah sahabat lama yang sudah sekian lama tidak bertemu. Pertanyaan demi pertanyaan diajukan tentang siapa saya, dari mana asal, dan apa tujuan pengembaraan ini.
Katil saya terletak di tengah-tengah, dikelilingi mereka yang mesra dan terbuka. Usai mandi di bilik bercampur, saya keluar sebentar untuk menunaikan solat di ruang luar motel yang lapang, menghadap langit yang bertabur bintang.

Apabila saya masuk semula, semua sudah tertidur dengan pelbagai gaya dan posisi yang jujur, tanpa kepura-puraan. Saya tersipu sendiri, membayangkan kemungkinan-kemungkinan nakal dalam fikiran, lalu segera menahan diri dengan istighfar.
Malam itu, buat pertama kalinya, saya tidur bersama sekumpulan wanita — dalam konteks yang amat tidak dirancang.
Ketika subuh menyapa, saya terjaga dalam keadaan semua masih lena. Saya segera ke luar, menunaikan solat di bawah cahaya samar fajar. Saat kembali ke dalam, saya melihat mereka semua masih nyenyak — ada yang berselimut rapat, ada yang terselak tanpa sedar.
Saya menundukkan pandangan dan cepat-cepat memejamkan mata semula, berdoa tiada sesiapa yang sedar akan kekoknya saya. Bila saya bangun semula, semua telah tiada — entah ke mana. Hati saya sedikit lega.
Masih awal pagi. Bandar matahari terawal di muka bumi yang memeluk fajar sebelum dunia lain terjaga—saya memulakan perjalanan ke barat. Jalanan berliku mengikut rentak buminya yang tua, mendaki dan menuruni perbukitan dalam kesunyian yang bergema dengan hembusan angin.

Saya menaiki teksi menuju Gisborne Boys’ High School untuk bertemu rakan-rakan lama seperti Wak Jono, Isa, Sazaly, Shahrim, Nazri dan Iskandar — sebahagian dari batch saya dan juga junior. Mereka ke sekolah pagi itu, dan saya bersyukur dapat melihat wajah-wajah Melayu yang mengingatkan saya kepada tanah air.
Setelah berpisah, saya mula menahan kenderaan, hitchhiking dari kawasan sekolah dan berjalan-jalan sekitar bandar Gisborne. Bandar ini terkenal dengan pantainya yang sesuai untuk luncur air, makanan dan wain, cahaya matahari yang menyenangkan, serta warisan budaya Maori yang sangat kaya.
Pantai Kaiti, yang saya kunjungi sebentar tadi, adalah tempat bersejarah — lokasi di mana Kapten James Cook pertama kali mendarat di Aotearoa.
Pantai Kaiti
Gisborne menyimpan pelbagai tarikan mesra keluarga, sesuai untuk pelancongan bajet, malah terdapat rumah-rumah Maori yang membuka pintu kepada pelancong yang ingin menyelami identiti budaya mereka. Di sinilah juga terdapat gelongsor batu semula jadi Rere yang ikonik — tempat permainan air yang tidak memerlukan taman tema.
Saya mencari sarapan halal, namun tidak berani mencuba selain sekeping roti, kopi dan Coke. Dalam keadaan perut yang belum kenyang dan semangat yang belum surut, saya meneruskan perjalanan. Beberapa buah kenderaan lalu-lalang tetapi tiada yang berhenti.
Saya terus berjalan melihat persekitaran dan perut terasa lapar kerana hanya makan sekeping roti dan berbekalkan coke saya terus berjalan. Kenderaan semakin kurang kerana jalan dari Gisborne adalah jalan yang terasing untuk pergi ke Barat.

Ada sebuah kereta berhenti, semuanya pelajar yang tidur kecuali pemandu yang memandu laju.
Dari Gisborne ke arah Te Karaka dan Rere, melintasi kawasan pedalaman yang menghijau, menyaksikan kabus pagi yang masih melekat pada pucuk-pucuk pohon pinus dan ladang biri-biri yang tenang seolah tak terusik zaman.
Timur Pulau Utara
Laluan ini membawa ke Rere Falls, air terjun kecil yang jernih mengalir dari tebing batu ke dalam kolam semula jadi—syurga tersembunyi yang hanya dikunjungi pengembara sejati.
Air terjun Rere
Lake Waikaremoana, tasik purba di jantung Te Urewera yang dikelilingi hutan hujan purba dan gunung yang angkuh.
Jalan ke sini sempit dan tidak berturap, namun setiap liku menghadiahkan pandangan yang mencengangkan: kabut menari di celah gunung, burung kakapo dan tui berkicau bersahutan, dan sesekali, kelibat rusa hutan menyapa di kejauhan.
Te Uruwera
Te Urewera bukan sekadar hutan—ia adalah tanah suci bagi suku Tūhoe, penjaga alam dan warisan yang belum terganggu sepenuhnya oleh tamadun. Dari sana, perjalanan barat boleh dilanjutkan ke Wairoa atau terus menempuh ke arah Napier, melingkari alam semesta yang membisikkan kebijaksanaan pada setiap langkah.
Sebaliknya, jika langkah dihala ke arah timur dan pesisir pantai, maka terbukalah lembaran laut yang tidak pernah tidur. Jalanan menuju Tolaga Bay menjadi penanda perjalanan ke timur—melewati kawasan perkampungan kecil, padang rumput, dan pohon pohutukawa yang bunganya memerah bagai api di musim panas.
Di Uawa, nama asal Tolaga Bay dalam bahasa Māori. Di sinilah terdapat jeti kayu terpanjang di hemisfera selatan, terbina sejak zaman kolonial tetapi masih kukuh merentas waktu.

Tolaga Bay
Angin laut menghembus garang, membawa serta haruman garam dan suara ombak yang menghempas batu. Di kejauhan, nelayan tempatan melabuhkan joran, dan kanak-kanak melompat dari jeti ke dalam lautan biru yang menggamit.
Saya berjalan ke hujung jeti itu—satu kilometer ke tengah lautan—merasa seolah sedang mengembara ke sempadan antara dunia nyata dan alam khayal.
Tokomaru Bay
Perjalanan diteruskan ke Tokomaru Bay, kampung pesisir pantai yang damai, diselaputi sejarah dan keindahan semula jadi. Rumah-rumah usang yang ditinggalkan kolonial masih berdiri—reput tapi bermaruah.
Berhenti dan bertemu dengan seorang pemuda Māori yang bersemangat melestarikan bahasa dan budaya nenek moyangnya. Dia memperkenalkan saya kepada lagu-lagu tradisional mereka, puisi purba yang digubah menjadi dendangan zaman.
Pohon Pohutukawa
Dari Tokomaru, laluan ke arah utara menuju Ruatoria dan akhirnya ke Cape Runaway dan Te Araroa—tanah hujung dunia di mana New Zealand menyentuh Lautan Pasifik dalam detik yang mistik.
Di sinilah terletaknya pohon pohutukawa paling timur di dunia, dikatakan ditanam oleh pelayar legenda, Kupe, dalam pelayarannya yang pertama.

Langit menjadi semakin terbuka, garis laut tak bertepi, dan rasa kecil menyelimuti jiwa. Di sinilah saya sedar, arah timur bukan sekadar geografi, tetapi lambang awal dan permulaan—kerana di sinilah mentari dunia menyinsing, dan dari sinilah harapan manusia terbit saban hari.
Sementara kalau dari barat yang bergunung dan berhutang pada sejarah purba Māori, ke timur yang bersahabat dengan lautan dan langit, kedua-dua arah menyajikan dua wajah Aotearoa yang berbeza tetapi sama mendalam. Di barat, kita dirangkul oleh senyap dan kehijauan abadi; di timur, kita disambut oleh ombak, pasir, dan cahaya yang membelai.
Pantai Timur Pulau Utara
Dan saya datang dari tanah tropika, kini menelusuri tanah Kiwi dengan mata terbuka dan hati yang ingin belajar—telah menyimpan kedua-dua arah ini dalam sanubari sebagai madah syukur.
Di setiap perhentian, saya mendengar gema masa lalu dan bayangan masa depan, dan menyedari bahawa perjalanan yang benar bukan hanya ke destinasi, tetapi ke dalam diri.
Jika di barat saya menemukan sunyi dan renungan, maka di timur saya merasai cahaya dan kelahiran semula. Dan dalam kedua-duanya, saya menemui makna hidup—yang mengalir di celah bukit dan menyanyi bersama ombak. - DagangNews.com








