Maqasid Syariah dalam pemulihan Kewangan Islam: Komitmen Brunei Darussalam | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maqasid Syariah dalam pemulihan Kewangan Islam: Komitmen Brunei Darussalam

Pegawai-pegawai kerajaan Brunei yang menghadiri program latihan yang dikendalikan oleh Dr Razli Ramli di Bandar Sri Begawan pada 16-17 September 2025.
Oleh Dr RAZLI RAMLI

Program latihan dua hari mengenai Islamic Financing Recovery: Rescheduling & Restructuring di Bandar Seri Begawan pada 16-17 September 2025, telah memberikan ruang yang sangat bermakna untuk penulis berkongsi pengalaman dengan peserta-peserta senior daripada Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), serta Kementerian Pendidikan Brunei. 

 

Kehadiran mereka menzahirkan kesungguhan institusi kewangan dan pihak kerajaan Brunei dalam memperkukuh kefahaman mengenai pengurusan semula pembiayaan Islam agar terus selaras dengan kehendak Syariah, di samping memenuhi tuntutan tadbir urus risiko dan keperluan pelanggan.

 

Antara pengajaran utama yang dapat dirumuskan daripada sesi ini adalah kepentingan membezakan secara jelas antara konsep recovery, rescheduling, dan restructuring.

 

Recovery bukan sekadar aktiviti pungutan hutang, tetapi merupakan proses teratur dan berdisiplin bagi memelihara kualiti aset serta memastikan kelangsungan institusi kewangan. Ia memerlukan strategi bersepadu yang menyeimbangkan kepentingan institusi dan pelanggan, selaras dengan prinsip keadilan yang digariskan dalam maqasid Syariah.

 

Dalam konteks rescheduling, pelanggan diberikan pemanjangan tempoh bayaran tanpa mengubah kontrak asal. Contohnya, dalam kontrak Murabahah atau Tawarruq, bank boleh meminda jadual pembayaran melalui perjanjian tambahan (supplementary agreement) tanpa menambah harga jualan asal atau mengenakan sebarang caj tersembunyi. 

 

Manakala dalam kontrak Ijarah, penyusunan semula jadual sewaan boleh dilakukan selagi tidak menjejaskan struktur akad. Semua ini tertakluk kepada piawaian yang telah diwartakan oleh Majlis Penasihat Syariah BNM, khususnya larangan terhadap pengkompaunan keuntungan tertunggak yang menyalahi prinsip Syariah.

 

Bagi restructuring, prosesnya lebih kompleks kerana melibatkan perubahan komersial atau struktur akad, yang menuntut pelaksanaan kontrak baharu.

 

Sebagai contoh, penukaran daripada BBA kepada Tawarruq atau daripada Mudarabah kepada Musharakah perlu disertai akad baharu yang sah. Dalam keadaan ini, instrumen seperti wa‘d (janji), wakalah (agensi), dan kafalah (jaminan) sering diguna untuk mengurus transaksi, manakala ibra’ (rebate) mesti diberikan bagi keuntungan belum terhasil. 


 

iktisad

 


Di samping itu, caj ta‘widh (ganti rugi kerugian sebenar) dan gharāmah (denda) perlu dikawal agar tidak menjadi sumber keuntungan kepada bank, sebaliknya disalurkan kepada tujuan kebajikan. Kesemua mekanisme ini memastikan proses recovery dan penstrukturan semula kekal patuh Syariah, adil, serta menepati kehendak peraturan dan pengawasan yang ketat.

 

Dalam sesi perbincangan kumpulan, peserta didedahkan kepada beberapa case study yang menekankan kepelbagaian kontrak Syariah seperti Murabahah, Tawarruq, BBA, Ijarah, dan Musharakah Mutanaqisah.

 

Melalui analisis senario, mereka dilatih untuk mengenal pasti kontrak asas yang digunakan dan menilai implikasi Syariah apabila berlaku kelewatan bayaran atau keperluan penstrukturan semula. 

 

Satu contoh menarik ialah pembiayaan rumah di bawah kontrak Murabahah, di mana sekiranya pelanggan mengalami kesukaran kewangan, bank boleh melaksanakan rescheduling dengan melanjutkan tempoh tanpa menambah harga jualan asal. Namun, jika berlaku restructuring dengan kadar keuntungan baharu, maka bank perlu menutup akaun lama dan melaksanakan akad baharu yang jelas, di samping memberi ibra’ bagi keuntungan yang belum diperoleh.

 

Isu praktikal yang dibincangkan secara panjang lebar bersama pegawai kanan BIBD adalah berkaitan penstrukturan semula kemudahan kredit perumahan. Dalam konteks ini, cabaran terbesar ialah mencari keseimbangan antara keperluan pelanggan yang terhimpit dengan beban kewangan, dan kepentingan bank untuk mengekalkan kelestarian aset serta mengurangkan risiko kegagalan bayaran.

 

BIBD menekankan bahawa sebarang proses penstrukturan mesti dilakukan dengan penuh ketelusan, tanpa mengenakan caj tambahan yang membawa unsur riba, serta mematuhi ketetapan Pihak Berkuasa Kewangan Brunei Darussalam (AMBD) dan resolusi Jawatankuasa Syariah. Pendekatan ini selari dengan amalan di Malaysia seperti digariskan oleh resolusi Majlis Penasihat Syariah BNM.

 

Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek dokumentasi dan tadbir urus. Peserta bersetuju bahawa setiap perubahan, sama ada melalui supplementary agreement atau akad baharu, mesti didokumenkan dengan jelas. 

 

Dokumentasi yang tidak lengkap bukan sahaja menimbulkan risiko ketidakpatuhan Syariah, malah boleh menjejaskan kedudukan undang-undang institusi apabila kes dibawa ke mahkamah. Justeru, pengawasan berterusan daripada Jawatankuasa Syariah institusi adalah elemen kritikal dalam memastikan proses rescheduling dan restructuring berjalan dengan lancar, telus, dan sah.


 

iktisad

 


Proses recovery dalam kewangan Islam tidak boleh dilihat semata-mata sebagai langkah teknikal untuk mengutip semula bayaran, tetapi ia mesti dipandu oleh maqasid Syariah yang menekankan keadilan, penjagaan harta (hifz al-mal), dan penghindaran mudarat. 

 

Prinsip muamalat pertama yang menegaskan bahawa setiap kontrak wajib dipersetujui oleh pihak-pihak yang beraqad, menjadikan proses rescheduling dan restructuring perlu dilaksanakan secara telus dan dengan persetujuan pelanggan. Sebarang perubahan kepada tempoh, jadual bayaran, atau struktur kontrak mestilah mendapat persetujuan jelas, agar kontrak tersebut sah dan menepati tuntutan Syariah.

 

Selain itu, budaya setempat (‘urf) turut memainkan peranan dalam menilai amalan recovery. Dalam konteks Brunei atau Malaysia misalnya, norma masyarakat yang menekankan ihsan, musyawarah, dan keadilan perlu diambil kira. Ini bermakna institusi kewangan Islam tidak boleh menggunakan pendekatan keras atau menekan pelanggan, sebaliknya perlu menyesuaikan proses recovery dengan realiti sosioekonomi masyarakat.

 

Dengan cara ini, kontrak yang digunakan seperti Murabahah, Tawarruq, atau Ijarah bukan sahaja sah dari sudut hukum, tetapi juga diterima masyarakat kerana selari dengan nilai tempatan yang diiktiraf Syariah.

 

Penulis berpegang kepada prinsip bahawa semua perkara dalam muamalat bersifat harus kecuali terdapat dalil, fatwa, atau resolusi yang mengharamkannya memberi ruang fleksibiliti kepada institusi kewangan dalam mengurus proses recovery. Mekanisme seperti ibra’ (rebate), ta‘widh (ganti rugi sebenar), atau wakalah (agensi) boleh digunakan selagi tiada larangan Syariah yang jelas.

 

Namun, institusi wajib mematuhi resolusi Majlis Penasihat Syariah BNM atau fatwa pihak berautoriti untuk memastikan amalan mereka tidak bercanggah dengan Syariah. Pendekatan ini memastikan proses recovery benar-benar menepati maqasid Syariah: melindungi harta, mengelakkan kezaliman, dan memastikan kesejahteraan kedua-dua pihak, institusi dan pelanggan.

 

Kesimpulannya, pengalaman penulis di Bandar Seri Begawan telah memperlihatkan dengan jelas betapa seriusnya Negara Brunei Darussalam dalam memperkukuh kefahaman wargakerja mereka terhadap kewangan Islam.


 

iktisad

 

iktisad

 

iktisad

 


Melalui inisiatif padu Institut Kepimpinan Kewangan Islam Brunei atau Brunei Institute of Leadership in Islamic Finance (BILIF), usaha melatih pegawai-pegawai kanan daripada sektor perbankan, kementerian, serta institusi pendidikan tinggi menunjukkan komitmen yang menyeluruh dan berpandangan jauh.

 

Penulis amat terharu dengan kesungguhan mereka mempelajari setiap inci ilmu kewangan Islam, bukan sahaja dari segi teori, malah juga aplikasi praktikal yang rumit seperti penstrukturan semula pembiayaan.

 

Sikap rendah hati, kesediaan untuk bertanya, dan keterbukaan kepada perbincangan kritis benar-benar mencerminkan budaya ilmu yang tinggi dalam kalangan peserta Brunei.

 

Tahniah kepada BILIF atas peranan utamanya sebagai pemangkin ilmu dan latihan, serta setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Brunei Darussalam atas visi dan iltizam mereka menjadikan kewangan Islam sebagai teras pembangunan modal insan dan kemajuan negara. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM


utm

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IKTISAD