Kenaikan Pasaran Saham Bukan Ukuran Kekuatan Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenaikan Pasaran Saham Bukan Ukuran Kekuatan Ekonomi

Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA

Jika ekonomi global dinilai melalui lensa buku teks, dunia sepatutnya sudah pun tergelincir ke dalam kemelesetan. Lengkung hasil bon Amerika Syarikat terbalik sejak 2022 dan Formula Sahm dicetuskan pada 2024, dua isyarat yang dalam sejarah moden hampir sentiasa mendahului kejatuhan ekonomi.

 

Isyarat itu hadir dengan jelas. Realiti bergerak ke arah yang berbeza.

 

Pasaran kewangan terus mencatat kenaikan, pekerjaan kelihatan bertahan, dan keyakinan kekal hidup walaupun asasnya semakin menipis.

 

Alat analisis yang selama puluhan tahun berfungsi sebagai kompas kini kehilangan keupayaan untuk memberi arah yang meyakinkan. Dunia terus mara berpandukan peta yang tidak lagi sepadan dengan medan sebenar.

 

Dalam persekitaran seperti ini, bahaya sebenar bukan terletak pada kelemahan yang mudah dikesan, tetapi pada keyakinan senyap bahawa ketidakseimbangan ini boleh berlanjutan tanpa akibat.

 

Ketahanan yang Kelihatan Kukuh

Pada April 2025, pengenaan tarif besar-besaran oleh Amerika Syarikat mencetuskan kegusaran global. Jangkaan kemelesetan melonjak. Perdagangan terganggu. Sentimen pasaran terjejas.

 

Tidak lama kemudian, pasaran saham kembali rancak. Keuntungan korporat mencatat paras tertinggi. Pelaburan dalam kecerdasan buatan melonjak, seolah-olah dunia sedang memasuki fasa kemajuan baharu.

 

Di bawah permukaan, ekonomi sebenar bergerak dengan langkah yang semakin berat. Pengambilan pekerja baharu hampir terhenti. Pasaran perumahan kekal lembap. Keyakinan pengguna merosot walaupun perbelanjaan diteruskan.

 

Ekonomi masih bergerak, tetapi arah dan momentumnya semakin sukar dibaca.

 

Pasaran Buruh yang Membeku

Pasaran buruh pada 2025 memperlihatkan satu kombinasi luar biasa. Kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja kekal rendah. Pada masa yang sama, kadar pengambilan pekerja baharu jatuh ke paras terendah dalam beberapa dekad. Pekerja kekal di tempat lama kerana pilihan semakin sempit. Mobiliti ekonomi membeku secara senyap.

 

Malah, Pengerusi Rizab Persekutuan, Jerome Powell mengakui pertumbuhan pekerjaan sebenar mungkin lebih rendah daripada angka rasmi. Anggaran menunjukkan sekitar 20,000 pekerjaan hilang setiap bulan sejak pertengahan tahun, berbanding 40,000 pertambahan yang dilaporkan.

 

Implikasinya ketara. Kekuatan pasaran kerja yang sering digembar-gemburkan mungkin sebahagian besarnya ilusi statistik.

 

Ketahanan ekonomi juga tidak dirasai secara meluas. Di Amerika Syarikat, 10 peratus golongan terkaya menyumbang hampir separuh perbelanjaan pengguna. Separuh terbawah isi rumah sudah berada dalam “kemelesetan kecil” dari sudut kuasa beli. Pertumbuhan ekonomi hari ini bergantung kepada segelintir pihak, bukan kekuatan kolektif.

 

AI Tidak Mengubah Ekonomi, Hanya Menenangkan Pasaran

Tahun 2025 sering digambarkan sebagai titik lonjakan kecerdasan buatan (AI). Di sebalik naratif kemajuan, AI hari ini lebih berfungsi sebagai pemecut pasaran kewangan berbanding pemangkin ekonomi sebenar.

 

Keyakinan melonjak lebih pantas daripada produktiviti, seolah-olah masa depan telah ditukarkan kepada nilai kewangan sebelum sempat diterjemahkan ke dalam pendapatan dan kecekapan nyata.

 

Tujuh gergasi teknologi, digelar “Magnificent Seven”, kini membentuk lebih satu pertiga nilai keseluruhan indeks S&P 500. Kenaikan ini didorong oleh jangkaan pulangan masa hadapan yang dimampatkan ke dalam penilaian hari ini.

 

Modal tertumpu kepada segelintir firma, manakala sektor lain bergerak perlahan. Pasaran saham melonjak, ekonomi sebenar gagal mengikut rentak.

 

Kepekatan ini membentuk risiko menyeluruh terhadap kestabilan kewangan. Apabila satu sektor memikul harapan kolektif ekonomi global, pembetulan tidak lagi bersifat sektoral. Ia berpotensi menjadi kejutan makro.

 

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan beberapa bank pusat utama memberi amaran bahawa penilaian saham teknologi bergerak terlalu jauh di hadapan asas pendapatan dan produktiviti. Ketua ekonomi Moody’s Analytics menyifatkan pasaran seolah-olah meluncur terlalu jauh di hadapan realiti ekonomi sebenar.

 

Apabila Keyakinan Pasaran Menjadi Masalah Sebenar

Kebergantungan ekonomi global kepada kesan kekayaan aset kewangan semakin ketara. Pertumbuhan hari ini disokong oleh nilai pasaran, bukan pendapatan yang meluas.

 

Dalam persekitaran seperti ini, pelabur legenda yang pernah mencatat keuntungan besar semasa krisis subprima kembali dengan pertaruhan “big short” baharu. Kejatuhan saham teknologi tidak lagi dianggap sebagai senario luar jangka.

 

Seperti yang pernah diingatkan oleh The Economist, implikasi sebenar gelembung teknologi jarang dibincangkan secara serius ketika ia sedang berkembang. Jika penilaian AI mula runtuh, kesannya tidak terhad kepada pelabur teknologi. Perbelanjaan, keyakinan pengguna dan kestabilan kewangan berisiko terjejas serentak.

 

Pada tahap ini, pasaran kewangan tidak lagi sekadar mencerminkan ekonomi. Ia berpotensi menjadi pencetus krisis.

 

Implikasi kepada Ekonomi Kecil Terbuka

Bagi ekonomi kecil terbuka seperti Malaysia, dunia yang digerakkan oleh harga aset dan sentimen pasaran bukan sekadar mencabar, malah berisiko.

 

Apabila pertumbuhan global semakin tertumpu kepada segelintir sektor dan beberapa negara terpilih, limpahan manfaat menjadi sempit, manakala turun naik merentasi sempadan semakin sukar dikawal. Keterbukaan yang suatu ketika dahulu dianggap kelebihan kini hadir bersama kerentanan yang lebih mendalam.

 

Kebergantungan kepada aliran modal, eksport dan keyakinan pelabur luar meletakkan ekonomi kecil pada kedudukan yang rapuh. Kejutan tidak lagi perlu berpunca daripada kelemahan domestik. Ia boleh hadir akibat perubahan dasar di negara besar, pembetulan pasaran kewangan, atau runtuhnya keyakinan terhadap aset yang selama ini dianggap selamat.

 

Dalam persekitaran sedemikian, ketahanan tidak boleh terus disandarkan kepada kitaran global atau optimisme pasaran semata-mata.

 

Keutamaan strategik perlu beralih daripada mengejar momentum kepada membina daya tahan. Produktiviti domestik, mobiliti buruh dan pelaburan bernilai tambah tinggi menjadi asas yang semakin kritikal.

 

Dunia yang rapuh menuntut ekonomi kecil membina penampan sendiri, bukan bergantung kepada kestabilan luaran yang semakin tidak menentu.

 

Di Ambang Ujian…

Seperti pepatah moden dalam ekonomi, “tidak ada jamuan yang tidak berakhir”. Keghairahan pasaran dan ketahanan palsu akhirnya akan diuji oleh realiti.

 

Ekonomi yang kelihatan stabil di permukaan sering menyembunyikan ombak di dasar. Mengenali ombak itu lebih awal memberi ruang untuk bertindak dengan lebih waras.

 

Kemakmuran yang lestari tidak lahir daripada keindahan angka, tetapi daripada keberanian membaca risiko sebelum ia memaksa keputusan luar jangka dibuat. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat