Simpanan dan pelaburan yang berlandaskan prinsip Syariah semakin mendapat perhatian dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
Kesedaran terhadap kepentingan memastikan sumber kewangan yang bebas daripada unsur riba, gharar, dan maysir semakin meningkat.
Satu daripada inisiatif yang membolehkan pencarum menguruskan simpanan mereka dengan lebih beretika ialah Simpanan Syariah yang ditawarkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Produk ini memberi peluang kepada pencarum Muslim untuk memastikan simpanan hari tua mereka diuruskan mengikut prinsip Islam tanpa perlu bimbang mengenai pelaburan dalam sektor yang tidak patuh Syariah.
Minggu lepas KWSP mengumumkan kadar dividen bagi Simpanan Syariah 2024 sebanyak 6.30%, iaitu jumlah yang sama dengan dividen Simpanan Konvensional 2024.
Walaupun kadar pulangan ini serupa, perbezaan ketara terletak pada kepatuhan Syariah dalam pelaburan yang dibuat.
Dalam Simpanan Syariah, semua dana dilaburkan dalam sektor yang dijamin patuh Syariah, manakala dalam Simpanan Konvensional, pelaburan merangkumi pelbagai sektor, termasuk yang tidak mematuhi prinsip Islam.
Sebagai perbandingan, pada tahun 2024, hanya 39% daripada pelaburan KWSP Konvensional memenuhi kriteria pelaburan patuh Syariah, manakala 61% lagi melibatkan pelaburan dalam sektor yang bercampur dengan unsur tidak patuh Syariah.
Ini bermaksud, walaupun pencarum menerima kadar dividen yang sama dalam kedua-dua akaun, dalam Simpanan Konvensional, sebahagian besar pulangan yang diperoleh berpotensi mengandungi unsur yang meragukan dari sudut Syariah.
Justeru, pencarum Muslim yang memilih Simpanan Konvensional perlu menjalankan proses ‘pembersihan harta’ dengan menyalurkan sebahagian daripada dividen mereka kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Bagi pencarum Muslim yang masih menyimpan dalam Simpanan Konvensional, adalah wajar untuk segera beralih kepada Simpanan Syariah agar simpanan hari tua bebas daripada sebarang unsur yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Proses penukaran ini boleh dilakukan dengan mudah sama ada secara dalam talian melalui i-Akaun atau dengan mengunjungi mana-mana cawangan KWSP.
Dengan memilih Simpanan Syariah, pencarum dapat menikmati dividen yang bersih dan halal tanpa perlu bimbang mengenai keperluan ‘pembersihan harta’.
Langkah ini bukan sahaja memastikan keberkatan dalam rezeki tetapi juga mencerminkan tanggungjawab seorang Muslim dalam menguruskan kewangan mengikut prinsip Islam.
Walaupun kadar dividen Simpanan Syariah dan Simpanan Konvensional adalah sama, terdapat satu aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh pencarum Muslim.
Dalam Simpanan Syariah, dividen yang diperoleh adalah sepenuhnya halal kerana pelaburannya dibuat hanya dalam sektor dan instrumen yang patuh Syariah.
Sebaliknya, dalam Simpanan Konvensional, hanya 39% daripada pelaburan tahun 2024 adalah patuh Syariah, manakala selebihnya 61% adalah hasil daripada pelaburan yang tidak memenuhi prinsip Islam.
Oleh itu, bagi pencarum Muslim yang mempunyai Simpanan Konvensional, hanya 2.46% daripada dividen yang diterima boleh dianggap sebagai dividen halal.
Jika seorang pencarum memperoleh dividen sebanyak RM10,000 daripada Simpanan Konvensional, sebanyak RM6,100 daripada jumlah tersebut perlu disalurkan kepada baitulmal atau badan kebajikan sebagai pembersihan harta.
Berikut adalah peratusan pelaburan patuh Syariah (halal) bagi Simpanan KWSP Konvensional dari tahun 2017 hingga 2024: 2024 - 39%, 2023 - 34%, 2022 - 27%, 2021 - 31%, 2020 - 31%, 2019 - 29%, 2018 - 32% dan 2017 - 36%.
Di bawah adalah graf yang menunjukkan peratusan pelaburan patuh Syariah dalam Simpanan KWSP Konvensional dari tahun 2017 hingga 2024.

Sebaliknya, bagi Simpanan Syariah, 100% daripada pelaburan yang dibuat adalah patuh Syariah sejak ia diperkenalkan.
Ini menunjukkan bahawa memilih Simpanan Syariah memberikan jaminan bahawa wang simpanan dan dividen yang diperoleh adalah bersih daripada unsur riba, gharar, dan maysir.

Walaupun Simpanan Syariah memberikan jaminan kewangan halal, statistik menunjukkan bahawa sehingga penghujung tahun 2024, sebanyak 74% daripada pencarum Muslim masih mengekalkan Simpanan KWSP Konvensional.
Ini menunjukkan bahawa masih ramai pencarum yang belum menyedari kepentingan menukar akaun mereka kepada Simpanan Syariah atau kurang mendapat pendedahan mengenai kelebihannya.

Antara kemungkinan sebab mengapa ramai pencarum masih kekal dalam Simpanan Konvensional ialah:
- Kurangnya kesedaran – Tidak ramai yang memahami perbezaan antara Simpanan Syariah dan Konvensional dari sudut kepatuhan Syariah.
- Kurang maklumat – Tidak mendapat informasi yang mencukupi tentang cara membuat pertukaran akaun KWSP ke Simpanan Syariah.
- Kekeliruan tentang pulangan – Ada yang beranggapan bahawa Simpanan Syariah memberikan dividen yang lebih rendah berbanding Simpanan Konvensional, walaupun hakikatnya kedua-dua jenis simpanan memberikan pulangan yang sama pada tahun 2024.
Hendak tunggu apa lagi?
Buat pencarum Muslim yang masih setia dengan KWSP Konvensional, ini satu peringatan mesra (sebagai saudara seIslam) – mulai 2026, akaun KWSP anda boleh jadi 100% patuh Syariah, bebas dari unsur riba, dan yang paling penting, dividen yang anda terima tidak perlu lagi disucikan. Boleh simpan 100%.
Jadi, kenapa masih bertangguh? Proses tukar ke Simpanan Syariah sangat mudah Sila pergi ke Pejabat KWSP – Masuk sahaja ke mana-mana cawangan KWSP dan buat permohonan.
Atau boleh tukar secara Dalam Talian melalui i-Akaun – Lagi senang, tidak perlu keluar rumah pun!

Duit yang kita simpan itu bukan sekadar angka, tapi amanah. Jangan sampai nanti bila dah terlambat, baru nak menyesal. Sudah ada pilihan yang halal, takkan masih hendak pilih yang ada unsur syubhah? Tukar sekarang sebelum terlambat!
Penulis menegaskan sekali lagi, Simpanan KWSP Syariah adalah pilihan terbaik bagi pencarum Muslim yang ingin memastikan bahawa simpanan persaraan mereka bebas daripada unsur haram.
Dengan kadar dividen yang kompetitif dan pelaburan 100% patuh Syariah, ia menawarkan jaminan kewangan yang bersih serta selari dengan prinsip Islam.
Memandangkan masih ramai pencarum Muslim yang belum bertukar ke Simpanan Syariah, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan membuat perubahan ini.
Dengan mengambil langkah mudah untuk bertukar ke Simpanan Syariah, kita bukan sahaja memastikan keberkatan dalam kewangan kita tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam yang lebih kukuh. - DagangNews.com
Dr Razli Ramli adalah Ketua Strategi dan Pengurusan Risiko yang juga Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) UTM dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di UIAM









