Di tengah-tengah badai kritikan, fokus sahaja kepada menambah baik diri sendiri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Di tengah-tengah badai kritikan, fokus sahaja kepada menambah baik diri sendiri

Oleh Ariffin Sabirin

Ramai rakan yang bertanya, apakah formula atau resepi kepada kejayaan Wasiyyah Shoppe Berhad bertahan selama 21 tahun? Malah menerajui industri perancangan harta dengan prestasi semakin baik setiap tahun walaupun keadaan ekonomi sangat mencabar ketika ini.

 

Oleh itu artikel minggu ini saya akan ulas serba sedikit berkaitan perniagaan.

 

Sebenarnya ada banyak faktor yang meletakkan Wasiyyah Shoppe Berhad di dalam keadaan sekarang.

 

Antaranya ialah panduan dan bimbingan daripada Lembaga Pengarah dan Panel Syariah yang mantap, tadbirurus korporat yang sebaik syarikat senaraian awam, strategi perniagaan dan produk yang inovatif serta pastinya sokongan pasukan pengurusan dan daie yang terbaik.

 

 

wasiyyah

 

 

Ini ialah antara komponen taktikal yang terlibat namun barang perlu saya ingatkan bahawa aplikasi semua komponen ini memakan masa puluhan tahun, melibatkan modal kewangan, disiplin serta keringat dan pengorbanan yang bukan kepalang banyaknya.

 

Namun 27 tahun bergelumang di dalam industri perancangan harta pusaka di Malaysia semenjak 1998, mengajar saya bahawa pada setiap masa, fokus yang perlu ada hanyalah satu iaitu untuk sentiasa menambah baik diri sendiri sepanjang masa.

 

Saya bukan pelajar undang-undang atau Syariah. Saya graduan pengurusan perniagaan dan memulakan kerjaya 5 tahun pertama saya di dalam dunia perbankan dan kewangan.

 

Oleh kerana itu banyak pihak merasakan saya tidak tahu apa-apa tentang dunia perancangan harta orang Islam yang sangat terkait dengan undang-undang dan hukum syarak atau dalam bahasa orang sekarang, ‘palatao’.

 

Tidak sedikit fitnah dan cemuhan yang dilemparkan kepada saya. Saya dianggap memandai-mandai sedangkan saya tidak tahu apa-apa ilmu tentang perancangan harta.

 

Sehingga hari ini, masih ada pihak yang memandang sinis dan memperlekehkan semua usaha yang telah dan sedang saya lakukan di Wasiyyah Shoppe Berhad.

 

Namun saya tidak pernah membiarkan semua lontaran persepsi negatif ini menjejaskan fokus saya.

 

 

iktisad

 

 

Sejak 1998 lagi, saya berterusan belajar ilmu ini daripada ramai guru walaupun pembelajaran itu secara tidak formal.

 

Saya pernah memandu dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dan memandu balik semula pada hari yang sama semata-mata kerana ingin belajar tentang hukum faraid dari seorang pensyarah di USM.

 

Saya pernah bertunggu-tangga berulang-alik di beberapa universiti tempatan seperti UKM, UM dan UIA hanya kerana ingin belajar daripada beberapa orang ahli akademik tentang ilmu ini.

 

Saya bersyukur kerana tokoh-tokoh ini bersedia melayan karenah saya dan tanpa jemu-jemu bertemu saya untuk memberi tuisyen peribadi tidak berbayar walaupun mereka sendiri sangat sibuk.

 

Masih jelas di dalam ingatan saya salah seorang daripada mereka pernah berkata kepada saya, “Ana ada ilmu tapi ana tiada pengetahuan menguruskan perniagaan dan tiada platform yang sesuai. Tubuhkanlah satu syarikat dan ana akan sokong enta supaya ilmu ini boleh diaplikasi dengan berkesan untuk masyarakat.”

 

Orang itu ialah Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang yang sangat instrumental kepada penubuhan Wasiyyah Shoppe Berhad pada tahun 2004.

 

 

Ustaz Ridzuan Awang
            Allahyarham Ustaz Ridzuan Awang

 

 

Allahyarham juga memperkenalkan saya kepada rakan-rakannya seperti Allahyarham Dato’ Ali Bahrom, Allahyarham Prof Dato Dr Hailani Muji Tahir dan Dr Abdul Halim El-Muhammady.

 

Kesemua tokoh ini menjadi barisan Panel Syariah pertama Wasiyyah Shoppe Berhad daripada tahun 2004-2007. Dato’ Hj Nooh Gadut ialah Pengerusi Panel Syariah kami yang pertama.

 

Saya rasa ini antara rezeki paling berharga yang Allah SWT kurniakan kepada saya iaitu dipertemukan dengan insan yang baik yang berkongsi visi yang sama dengan saya iaitu untuk membantu umat Islam merancang harta melalui kaedah patuh Syariah yang paling efektif.

 

Walaupun saya ada serba sedikit ilmu berkaitan perniagaan namun saya langsung tiada kapasiti ilmu. Oleh kerana itu saya fokus kepada belajar bersungguh-sungguh ilmu ini daripada semua sumber ilmu yang ada.

 

Rupa-rupanya sifat ilmu ini, lagi digali lagi banyak sebenarnya yang tidak kita ketahui. Kami memberikan dana kepada universiti untuk membuat penyelidikan ilmiah dan dapat penyelidikan itu membawa kami belajar lebih banyak perkara-perkara baru.  

 

Di dalam masa yang sama, Wasiyyah Shoppe Berhad yang tidak dipimpin oleh orang yang berlatarbelakang undang-undang atau Syariah ini terus-terusan dikritik dan diperlekehkan.

 

Kalau ingin saya senaraikan semua kritikan itu, mungkin artikel ini akan sepanjang 10,000 perkataan pun masih tidak cukup!

 

Banyak pihak yang tidak tahu tentang dapatan penyelidikan kami (ia memang tidak didedahkan kepada umum kerana ia hak milik intelektual kami) menuduh apa yang kami lakukan ini tidak patuh Syariah dan menipu masyarakat.

 

Di saat kritikan ini datang bertalu-talu, kes-kes yang kami selesaikan semakin banyak di Mahkamah.   

 

Namun, saya tidak pernah ambil pusing apa yang orang katakan tentang saya ataupun Wasiyyah Shoppe Berhad. Fokus saya setajam jarum dan saya tahu apa yang ingin saya capai.

 

Di dalam hati saya tahu, Allah SWT Maha Mengetahui apa yang kami lakukan.

 

 

wasiyyah

 

 

Kami tidak perlu untuk berlawan cakap dengan sesiapa untuk membuktikan bahawa kami Ikhlas dalam melakukan kerja ini. Kami juga tidak perlu menunjuk-nunjuk apa yang telah kami capai.

 

Saya selalu berpesan kepada pasukan saya untuk terus fokus kepada menambahbaik semua aspek perkhidmatan yang kami sedia ada. Jangan mudah berputus-asa atau jatuh moral apabila dikutuk, dikritik atau diperlekeh.

 

Mana-mana input yang boleh dijadikan panduan penambahbaikan, kami ambil dengan hati yang terbuka.

 

Tips untuk  memperbaiki diri ialah jangan mudah juga untuk berpuas hati atau alpa jika dipuji atau telah mencapai sesuatu tahap. Kita kena faham bahawa semua yang telah dicapai hari ini berlaku hanya dengan izinNya.

 

Dialah yang mengurniakan dan Dia jugalah yang boleh menariknya kembali pada bila-bila masa. Tiada apa pun di atas muka bumi ini milik kita, sebaliknya ia hanyalah pinjaman semata-mata.

 

Pesanan saya mudah sahaja, apabila kita selalu dikutuk, maka itu maknanya kita seorang yang signifikan dan berada jauh di depan orang yang melemparkan kutukan itu. Tiada sesiapa yang mahu berkata apa-apa tentang orang yang tidak membawa sebarang makna kepada mereka.

 

Jadi untuk bergerak ke hadapan, butakan mata, tulikan telinga, kelukan lidah dari mengulas apa-apa kutukan yang dilemparkan kepada kita.

 

Kita tidak perlu melempar batu kepada semua anjing yang menyalak sepanjang perjalanan kita.

 

Mana-mana input yang baik, kita ambil untuk dijadikan panduan penambahbaikan. Mana-mana kutukan yang sekadar hanya ingin melemahkan, kita tolak ke tepi.

 

Teruskan langkah untuk bergerak ke hadapan. - DagangNews.com

 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Ariffin Sabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas, Presiden Kumpulan dan CEO Wasiyyah Shoppe Bhd