KLCI bergelut, ringgit mengukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KLCI bergelut, ringgit mengukuh

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Pasaran tempatan bergelut untuk kekal berada pada paras 1,600 mata apabila kebimbangan terhadap penularan wabak COVID-19 masih mempengaruhi sentimen pelabur. 

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI ditutup pada 1,600.29 mata setelah susut 8.09 mata atau 0.5%. 

 

Jumlah dagangan sebanyak 7.14 bilion bernilai RM3.92 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 752 berbanding 390 manakala 372 kaunter tidak berubah. 

 

Menurut Malacca Securities, pergerakan di bursa tempatan mungkin secara mendatar kerana pelabur masih lagi was-was dengan perkembangan program vaksinasi. 

 

"Dalam masa sama, lonjakan dalam jumlah harian kes yang disahkan COVID-19 baru-baru ini, boleh menjejaskan ekonomi," katanya. 

 

Sementara itu, lapor Reuters, gelombang baharu wabak ini yang melanda Asia Selatan dan Asia Tenggara telah mengurangkan selera risiko sejak akhir-akhir ini.

 

Pergerakan dalam mata wang Asia dan kebanyakan pasaran saham pula bercampur-campur di tengah-tengah kekurangan pemangkin utama. 

 

Dolar Amerika Syarikat (AS) ditambat pada paras terendah sebulan berbanding mata wang utama yang lain dengan hasil perbendaharaan AS berlegar pada paras terendah dalam tempoh 5 minggu. 

 

Ini susulan kenyataan Rizab Persekutuan AS yang mengulangi pendiriannya bahawa sebarang kenaikan inflasi hanya bersifat sementara.

 

Ringgit petang ini ditutup pada RM4.1230/1255 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada penutupan Jumaat, RM4.1250/1290. - DagangNews.com