KL Wellness City taja biasiswa RM25 juta bagi tangani isu kekurangan jururawat | DagangNews Skip to main content

KL Wellness City taja biasiswa RM25 juta bagi tangani isu kekurangan jururawat

Dzulkefly Ahmad bersama Colin Lee menyaksikan Majlis Menandatangani MoA antara KL Wellness City bersama enam IPTS baru-baru ini.
Oleh M. HERMAN HAMID


KUALA LUMPUR 9 Mei - KL Wellness City (KLWC) menerusi anak syarikatnya,KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH) memperuntukkan RM25 juta untuk disalurkan sebagai biasiswa dalam bidang kejururawatan d insitusi pendidikan tempatan bagi menangani kekurangan jururawat di Malaysia.

 

Bagi tujuan itu, KLWC baru-baru ini menandatangani Perjanjian Memorandum (MoA) dengan enam institusi pengajian tinggi tempatan bertujuan menyediakan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan.

 

Institusi berkenaan ialah University College MAIWP International, IMU University, Kolej Universiti Lincoln, Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Adventist, International Medical College (IMC) dan Kolej Kejururawatan dan Sains Kesihatan Oriental Nilam. 

 

Biasiswa ini meliputi yuran pendidikan, elaun sara hidup dan penginapan pelajar serta menjamin graduan pekerjaan selama lima tahun di KL International Hospital Sdn Bhd (KLIH) selepas penerima tamat pengajian. 

 

Hadir menyaksikan majlis menandatangani MOA tersebut ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

 

Menurut beliau, inisiatif ini bukan hanya mampu mengatasi kekurangan jururawat yang dijangka dalam beberapa tahun akan datang, tetapi juga akan menyumbang kepada peningkatan kualiti serta keupayaan bakat jururawat di Malaysia.

 

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada KL International Hospital atas sumbangan mereka sebanyak RM25 juta kepada pendidikan kejururawatan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan KLWC, Datuk Dr. Colin Lee berkata, sepanjang membangunkan bandar pertama yang dibina khusus untuk kesejahteraan dan penjagaan kesihatan, memang diakui wujud keperluan kritikal untuk mengatasi kekurangan jururawat di Malaysia. 

 

"Usaha ini menyokong para pelajar kejururawatan dalam menghadapi pelbagai halangan peribadi dalam pendidikan, membolehkan mereka mendapat manfaat daripada biasiswa ini. 

 

"Pada masa yang sama, ini membuka jalan pada kami untuk menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang cemerlang dan efisien sambil memupuk bakat profesional kesihatan di Malaysia," katanya.

 

Colin berkata demikian semasa pelancaran hospital tertiari oleh KL International Hospital yang terletak di Bukit Jalil melibatkan kawasan seluas 26.49 ekar.

 

Acara ini juga menyaksikan penyampaian sumbangan kepada Rumah Tunas Harapan Tengku Ampuan Rahimah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Darul Aitam Kuala Selangor, Sekolah Agama Menengah Rakyat Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat dan Pertubuhan Amal Dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor. 

 

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada sokongan berterusan KL Wellness City kepada sejumlah 11 rumah dan pusat pada April 2024, merangkumi lebih daripada 350 anak-anak Malaysia tersayang. 

 

Terletak secara strategik di Bukit Jalil, hospital KLWC dijangka menjadi hospital penjagaan tertiari berkapasiti 624 katil, dengan potensi untuk diperluaskan kepada 1,000 katil. 

 

Dengan menawarkan pilihan perkhidmatan perubatan yang luas, daripada pembedahan rumit kepada khidmat penjagaan sekunder dan tertiari, hospital ini berusaha untuk menarik pakar-pakar terkemuka untuk meningkatkan tahap rawatan dan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengurangkan masa menunggu bagi pesakit. 

 

Fasa pertama KLIH dijangka mencapai nilai pembangunan sebanyak RM1 bilion, dengan penyelesaian yang dijangka pada suku kedua 2026 dan pembukaan yang dijangka pada suku ketiga tahun yang sama. - DagangNews.com