KUALA LUMPUR 7 Feb - Penerima vaksin primer Sinovac yang masih belum mendapatkan dos penggalak, digesa mengambil suntikan itu secepat mungkin bagi mengelakkan status vaksinasi di aplikasi MySejahtera bertukar tidak lengkap divaksin sepenuhnya sebelum 1 Mac ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana sebanyak 3.5 juta penerima vaksin Sinovac masih belum menerima dos penggalak sekali gus berisiko terdedah kepada Omicron.
"Mulai 1 Mac, sijil vaksinasi digital mereka akan bertukar status daripada kuning kepada putih, bermakna mereka belum divaksin sepenuhnya. Mereka hanya mempunyai bulan Februari untuk memastikan status vaksin sepenuhnya kekal.
"Sekatan akan dikenakan di pintu masuk tertentu bagi individu yang tidak lengkap vaksinasi," katanya dalam sidang akhbar khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, kes COVID-19 hari ini mencatatkan sebanyak 11,034 kes dan KKM menjangkakan bakal mencecah lebih 20,000 kes menjelang hujung bulan depan jika kadar kebolehjangkitan (RT) virus itu kekal pada kadar 1.2.
Dalam perkembangan sama, Khairy berkata, sebanyak 32% atau 1 juta warga emas masih belum mengambil dos penggalak dan berisiko terdedah kepada Omicron.
Beliau turut merayu kepada warga berusia 60 tahun ke atas mendapatkan dos penggalak dengan segera berikutan risiko jangkitan serius adalah lebih tinggi dalam kalangan golongan itu.
“Daripada 32,034 kematian sehingga 6 Februari lalu, sebanyak 18,362 atau 57.32% melibatkan warga emas," katanya.

Katanya, warga emas boleh pergi ke mana-mana pusat vaksinasi berdekatan bagi mendapatkan dos penggalak.
Khairy turut menggesa semua rakyat Malaysia untuk mendapatkan suntikan penggalak mereka dengan segera untuk melindungi diri mereka, keluarga mereka dan negara terutamanya dengan lonjakan kes yang berkaitan dengan varian Omicron. - DagangNews.com








