Khazanah, World Economic Forum lancar laporan pelaburan tenaga bersih di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Khazanah, World Economic Forum lancar laporan pelaburan tenaga bersih di Malaysia

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong (tiga dari kanan) melancarkan laporan komuniti bertajuk ‘Menggerakkan Pelaburan Tenaga Bersih di Malaysia’ hari ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Khazanah Research Institute (KRI) dengan kerjasama World Economic Forum (WEF) yang disokong oleh Accenture, melancarkan laporan komuniti bertajuk 'Menggerakkan Pelaburan Tenaga Bersih di Malaysia'.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Khazanah berkata laporan itu adalah sebahagian daripada inisiatif WEF untuk menggerakkan pelaburan tenaga bersih dalam ekonomi baharu muncul, yang mengetengahkan cadangan untuk meningkatkan persekitaran kawal selia dan dasar, serta penyelesaian bukan dasar.

 

Jelasnya, ini memudahkan pelaburan tenaga bersih di Malaysia, dari perspektif kumpulan kerja awam-swasta yang terdiri daripada pihak berkepentingan dalam industri berkaitan, sektor kewangan dan akademik di Malaysia dan antarabangsa.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata agenda tenaga bersih memerlukan usaha bersama daripada semua pihak berkepentingan iaitu penggubal dasar, pemain industri, ahli akademik dan pelabur, dengan satu matlamat untuk memacu inisiatif tenaga bersih negara dan menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.

 

“Penambahbaikan dasar dan penyelesaian yang didorong oleh sektor swasta boleh bergerak seiring untuk menarik pelaburan dalam empat bidang tumpuan utama yang dikenal pasti dalam laporan komuniti ini.

 

"Dengan memanfaatkan lagi inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG), Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab tenaga bersih di rantau ini," ujar beliau.

 

Menurut Khazanah, kumpulan kerja awam-swasta telah mengenal pasti empat bidang tumpuan utama pelaburan khusus untuk Malaysia, iaitu tenaga solar dan penyimpanan; projek bebas arang batu; transmisi dan pengedaran; serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

 

Tambahnya, semua bidang tersebut mempunyai matlamat menyeluruh untuk menyokong sasaran bersih sifar negara, di samping mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dan membolehkan kemajuan inisiatif-inisiatif yang diumumkan di bawah pelbagai dasar dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Penyelesaian bukan dasar yang dikenal pasti oleh kumpulan kerja untuk mempercepatkan pembiayaan bagi sektor tenaga bersih Malaysia turut dibincangkan, termasuk Zon Tenaga Boleh Diperbaharui (REZ), langganan solar kediaman, memanfaatkan kumpulan modal baharu untuk tenaga bersih dan CCUS.

 

Khazanah berkata REZ yang dibentangkan dalam laporan komuniti itu adalah satu daripada 10 projek pemangkin utama yang diumumkan di bawah Fasa 1 NETR, yang akan diterajui oleh Khazanah.  - DagangNews.com