KUALA LUMPUR 15 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan keuntungan bersih teras Genting Malaysia Bhd. bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 akan menyusut antara 10 hingga 20% suku ke suku kepada RM150 hingga RM170 juta, berbanding RM189 juta yang direkodkan pada suku ketiga.
Penurunan ini disebabkan hasil Resorts World New York City (RWNYC) yang lebih rendah dan kelemahan margin Resort World Genting (RWG).
"Namun, kami melihat kumpulan akan merekodkan untung bersih sekitar RM450 hingga RM470 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), dengan sebahagian besarnya adalah sejajar dengan unjuran kami, iaitu RM434 juta, berikutan asas keuntungan yang rendah.
"Oleh itu, kami menjangkakan dividen sesaham bagi separuh kedua 2022 sebanyak 8.5 sen, menjadikan keseluruhan FY22 kepada 14.5 sen daripada 9 sen pada FY21," katanya dalam nota kajian hari ini.
Genting Malaysia akan mengumumkan laporan kewangannya bagi suku keempat pada 23 Februari ini.
Firma penyelidikan itu memberi alasan bahawa pengendali kasino dan pusat peranginan dijangka menanggung bahagian kerugian yang lebih tinggi daripada Empire Resorts.
Ini susulan kumpulan itu meningkatkan kepentingan dalam syarikat perjudian daripada 66.6% kepada 76.3%, ditambah dengan hasil yang lebih rendah di RWNYC dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang lebih rendah di RWG.
Pendapatan kasar perjudian RWNYC susut 2% suku ke suku, berdasarkan statistik daripada New York State Gaming Commission.
"EBITDA juga sepatutnya mengikut aliran sama seperti yang kami percaya margin bagi suku ke suku (suku ketiga: 40%), walaupun kos gaji lebih tinggi," tambahnya.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Genting Malaysia dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.25 sesaham. -DagangNews.com








