Kerajaan lulus peruntukan RM1.5 bilion bagi program jana pendapatan golongan sasar - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan lulus peruntukan RM1.5 bilion bagi program jana pendapatan golongan sasar - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK12 2021-2025 di Parlimen pada 11 September 2023. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Kerajaan meluluskan sebanyak RM1.5 bilion bagi menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar demi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini juga, tanpa mengira etnik mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman.

 

"Langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

 

"Sehingga 15 Ogos 2023, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan," katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

 

Anwar berkata, kerajaan juga telah melancarkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi.

 

Beliau berkata, sehingga 31 Ogos lepas, sebanyak 106,492 permohonan diterima untuk menyertai program IPR.

 

Selain itu program akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Tekun Nasional dan program-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

 

 

anwar

 

 

Katanya, di samping itu, pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya, Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

 

"Dalam kerangka Ekonomi MADANI, pendekatan kita sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif. Namun untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat. 

 

"Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint. Bagi tujuan ini, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras," katanya.

 

Sementara itu, Anwar berkata, program Felda MADANI akan membantu para peneroka terus mempunyai peluang untuk menjana pendapatan yang lebih baik. 

 

 

anwar

 

 

Beliau berkata, usaha ini termasuk pelaksanaan program peningkatan keterjaminan makanan dan langkah drastik bagi membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain.

 

"Kesejahteraan masyarakat desa, termasuk peneroka dan pekebun kecil, akan terus dibela melalui kajian semula dan pengukuhan fungsi dan peranan agensi berkaitan, terutama Felda, Felcra, Risda dan MARA.

 

"Maka, kerajaan memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas dan akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis di semua kawasan Felda dan di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya," katanya. - DagangNews.com