Kerajaan komited tingkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan teknologi dan bakat berkualiti - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan komited tingkatkan pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan teknologi dan bakat berkualiti - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi, yang berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan di samping terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan inklusif dan mampan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia berada di antara 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global.

 

Beliau berkata, ia selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12). 

 

"Selain itu, satu langkah strategik inovasi akan diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang tersebut dengan kehendak industri," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi, hari ini.

 

Ismail Sabri berkata, mesyuarat turut mengambil maklum akan cabaran dan situasi semasa mengenai bakat sedia ada berdasarkan keperluan industri. 

 

"Pertama, negara menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Kedua, cabaran untuk mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran. 

 

"Negara berdepan dengan saingan daripada negara-negara maju yang menawarkan gaji yang lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor-sektor yang berpotensi tinggi," katanya.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Katanya, mesyuarat bersetuju untuk meneliti semula dasar-dasar yang melibatkan sumber manusia dan modal insan di semua kementerian berkaitan secara menyeluruh bagi menangani cabaran pasaran buruh. 

 

"Kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju kehadapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya. - DagangNews.com