Kerajaan digesa tumpu pembaharuan undang-undang buruh - SAMENTA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerajaan digesa tumpu pembaharuan undang-undang buruh - SAMENTA

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyeru kerajaan menumpukan perhatian kepada pembaharuan undang-undang buruh selari dengan perkembangan ekonomi gig dan ekonomi pasca-pandemik, berbanding kenaikan gaji minimum.

 

Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, perkara itu wajar berikutan pengumuman Menteri Sumber Manusia yang memaklumkan bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada sekitar RM1,500 menjelang akhir tahun ini. 

 

"Walaupun kami tidak menentang sebarang kenaikan yang munasabah dalam gaji minimum, kami menggesa kerajaan menyelaraskan sebarang kenaikan tersebut dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan produktiviti buruh. 

 

"Produktiviti buruh Malaysia merosot sebanyak 5.6% pada suku ketiga 2021. Seeloknya, kita perlu mengaitkan gaji dengan produktiviti supaya golongan pekerja kita dapat menikmati kemakmuran bersama apabila ekonomi negara bertambah baik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Menurut William, Pelaksanaan Sistem Upah Yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) oleh Kementerian Sumber Manusia menarik minat daripada kalangan perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

 

"Bagaimanapun, undang-undang buruh kita termasuk Akta Kerja 1955, masih berasaskan masa. Ini bermakna sebarang perlaksaan PLWS perlu mengambil kira gaji bulanan yang berasaskan masa dan bukannya sekadar berdasarkan produktiviti," katanya.

 

Beliau mengambil contoh negara maju seperti Australia merupakan perkara biasa bagi pekerja dibayar berdasarkan pengeluaran. 

 

"Pembersih bilik di hotel misalnya dibayar mengikut bilangan bilik yang dibersihkan setiap hari dan bukannya berapa jam yang dikerjakan. Apabila kadar penghunian tinggi, pendapatan pekerja tersebut akan melonjak dan secara langsung dapat menikmati kemakmuran bersama majikannya," katanya.

 

 

samenta
Datuk William Ng

 

 

Katanya, model gaji berdasarkan pengeluaran telah berjaya dilaksanakan di dalam industri e-panggilan tempatan, yang mana pemandu dibayar untuk setiap penghantaran dan bukannya sekadar mengikut jumlah waktu bekerja. 

 

Tambah beliau, sistem gaji dikaitkan dengan produktiviti dan bukannya gaji mínimum, merupakan cara terbaik memastikan perniagaan PKS dapat mengharungi cabaran ekonomi akan datang serta pada masa sama, pekerja dapat berkongsi kemakmuran ekonomi.  - DagangNews.com