Kenanga Research unjur adex meningkat kepada 11.8% tahun ini dipacu terutamanya segmen akhbar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kenanga Research unjur adex meningkat kepada 11.8% tahun ini dipacu terutamanya segmen akhbar

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Okt - Kenanga Research menyemak naik unjuran pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan (adex) tahun ini kepada 11.8% berbanding anggaran sebelum ini, 10.9% dipacu segmen akhbar yang dijangka lebih kukuh. 

 

Ini berikutan jumlah adex berkembang 12.3% tahun ke tahun bagi tempoh sembilan bulan setakat tahun ini, melebihi jangkaan firma apabila momentum ekonomi kembali meningkat sehingga suku ketiga apabila ekonomi dibuka semula.

 

Menurut penganalisisnya, Ahmad Ramzani Ramli, segmen digital, radio dan akhbar adalah pemacu utama pertumbuhan yang menyaksikan radio terus pulih dengan kukuh apabila sekatan pergerakan ditarik semula manakala segmen digital mengekalkan pertumbuhan berdaya tahan.

 

"Oleh, kami mengekalkan jangkaan pertumbuhan bagi siaran televisyen percuma (FTA TV), radio dan digital masing-masing pada 1%, 20% dan 45%. 

 

"Tetapi, kami meningkat jangkaan pertumbuhan akhbar daripada 2% kepada 10% untuk mencerminkan separuh pertama 2022 yang disemak semula dan prestasi kukuh setakat ini.

 

"Bagaimanapun, prospek pada 2023 adalah bercampur-campur bagi sektor media, berikutan prospek pertumbuhan ekonomi yang lembap dan kurangnya acara sukan utama seperti Piala Dunia pada suku keempat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Di sebalik penganjuran Sukan Komanwel dan sambutan Merdeka pada suku ketiga 2022, pertumbuhan adex FTA TV agak meruncing apabila Sukan Olimpik Tokyo berlangsung dalam tempoh yang sama tahun lalu.

 

Namun, segmen digital bagi tempoh sembila bulan setakat tahun ini terus berkembang dan mempamerkan prestasi berdaya tahan, meningkat 41.3% tahun ke tahun apabila pengiklan terus tertarik kepada platform tersebut.

 

Adex radio turut mengekalkan aliran meningkat, berkembang 29.8% tahun ke tahun apabila segmen itu terus mendapat manfaat daripada penarikan semula sekatan pergerakan dan peningkatan pemandu di jalan raya.

 

Sementara itu, adex bagi akhbar pula melebihi jangkaan apabila segmen itu berkembang 18.3%. Ia menyaksikan adex pada separuh pertama yang disemak berkembang lebih banyak daripada yang dilaporkan pada mulanya (disemak semula: 8.8% berbanding permulaan: 2.9%) memandangkan ia mendapat manfaat yang sama seperti segmen radio.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor media dengan Media Prima Bhd. menjadi pilihan utamanya, yang kekal dengan pandangan 'outperform' pada harga sasaran 64 sen. - DagangNews.com