Kelemahan segmen farmasi pengaruhi prospek 7-Eleven, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan segmen farmasi pengaruhi prospek 7-Eleven, CGS-CIMB kekal saranan 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Ogos - CGS-CIMB Research menjangkakan 7-Eleven Malaysia Holdings berdepan persekitaran operasi yang lebih lemah pada separuh kedua 2022 terutamanya menerusi segmen farmasinya, Caring Pharmacy.

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap pengendali rangkaian kedai serbaneka itu berikutan kuasa belanja pengguna yang lemah.

 

Menurutnya, segmen farmasinya menyaksikan kelembapan pada suku kedua dengan pendapatan susut 5.3% suku ke suku kepada RM299.4 juta walaupun kerajaan telah menarik semula sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

"Ini menunjukkan segmen farmasinya mungkin terus memuncak dan mengalami trend kemerosotan pada masa akan datang.

 

"Selain itu, kami juga amat bimbang dengan kejatuhan mendadak keuntungan selepas cukai (PAT) segmen farmasinya kepada RM9 juta (susut 54.6% suku ke suku) dan margin PAT sebanyak 3% (susut 3.3% suku ke suku), yang mungkin disebabkan perang harga semakin sengit di tengah-tengah peningkatan persaingan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih 7-Eleven meningkat 23 kali ganda kepada RM25.77 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 daripada RM1.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 39.5% kepada RM943.67 juta daripada RM676.67 juta berikutan sumbangan yang lebih baik menerusi segmen kedai serbaneka dan farmasi.

 

Rangkaian kedai serbanekanya menjana RM644.3 juta pendapatan pada suku tersebut manakala segmen farmasi juga mendapat manfaat daripada pembukaan ekonomi terutama Wellings Pharmacy yang menyaksikan pendapatan meningkat kepada RM299.4 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama itu, keuntungan bersih 7-Eleven berkembang 292% kepada RM50.15 juta daripada RM12.8 juta, apabila pendapatan meningkat 33.73% kepada RM1.78 bilion daripada RM1.33 bilion.

 

Meskipun berhati-hati dengan prospek 7-Eleven, CGS-CIMB menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 2.8 hingga 10.8% berikutan pendapatan dan anggaran margin yang lebih tinggi bagi segmen kedai serbaneka.

 

Sejajar dengan semakan itu, ia menaikkan harga sasaran 7-Eleven kepada RM1.62 daripada RM1.48 sesaham sebelum ini dengan mengambil kira kecairannya yang rendah dan profail penggearan lebih tinggi berbanding pemain industri lain di tengah-tengah kenaikan kadar faedah.

 

Setakat 9.17 pagi ini, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.28% kepada RM1.58 dengan 25,300 saham diniagakan. -DagangNews.com