Kelemahan ringgit perlu penyelesaian jangka panjang - Pakar Ekonomi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan ringgit perlu penyelesaian jangka panjang - Pakar Ekonomi

Oleh MOHAMAD DOM

KUALA LUMPUR 3 Jun - Kemeruapan situasi pasaran mata wang dan pasaran modal yang dilihat pada masa ini adalah ciri-ciri semula jadi pasaran tersebut dan ia akan sentiasa terdedah kepada sebarang faktor antarabangsa mahupun domestik, menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid.

 

Jelas beliau, pasaran mata wang sentiasa tidak menentu terutama apabila terdapat perubahan dalam dasar monetari Amerika Syarikat (AS) atau peningkatan ancaman bagi kelembapan ekonomi. 

 

"Lazimnya, apabila ketidaktentuan semakin memuncak, permintaan terhadap dolar AS akan melonjak. Jadi dengan kadar tukaran, ringgit akan menjadi lebih lemah," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

 

Mohd. Afzanizam Abdul Rashid
Mohd. Afzanizam Abdul Rashid

 

 

Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyusutan ringgit buat masa ini disumbangkan oleh faktor sementara termasuk unjuran situasi dasar monetari dunia dan kecairan tunai global yang terus mengetat, menyebabkan kegusaran komuniti pelabur antarabangsa.

 

Unjuran pertengahan keseluruhan analisis asing melaporkan bahawa tukaran ringgit berbanding dolar AS pada suku kedua 2022, suku ketiga 2022, suku keempat 2022 dan suku pertama 2023 masing-masing dijangka mencecah RM4.37, RM4.35, RM4.28 dan 4.27.

 

Dalam dagangan pagi ini, ringgit memperoleh semula kekuatan untuk diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS apabila permintaan dolar AS semakin lemah di tengah-tengah jangkaan pendirian dasar monetari yang agresif oleh Rizab Persekutuan AS pada minggu ketiga bulan ini.

 

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada RM4.3805/3840 berbanding dolar AS daripada RM4.3880/3910 pada penutupan petang semalam.

 

Baca : Kegusaran pelabur antarabangsa antara penyebab penyusutan nilai Ringgit - Tengku Zafrul

 

Afzanizam menjelaskan pertimbangan lain yang mempengaruhi ringgit termasuklah prestasi yuan, di mana kedua-dua ringgit dan yuan juga bergerak selari, justeru, apabila yuan menjadi lemah, itu juga boleh mengakibatkan ringgit lebih lemah. 

 

Katanya, pergerakan ringgit telah banyak disumbangkan oleh pihak luar terutamanya ketidaktentuan jangka pendek.

 

"Bagaimanapun, kita harus memberi tumpuan kepada arah aliran jangka panjang kerana ini akan menunjukkan bagaimana ekonomi akan dicerminkan melalui nilai mata wang," katanya.

 

Beliau juga menambah, kelemahan ringgit mencerminkan tahap daya saing negara mungkin mempunyai beberapa isu, yang mana jika diteliti, penyelesaian bersifat jangka panjang perlu dititikberatkan dan ia melibatkan reformasi ekonomi. 

 

"Secara ringkasnya, kita tidak seharusnya memberi terlalu banyak perhatian pada ketidaktentuan jangka pendek ini. 

 

"Tetapi, pada jangka panjang dan bagaimana kita boleh mengaitkannya dengan dasar ekonomi yang boleh menghasilkan hasil yang lebih diingini kepada isi rumah dan perniagaan," jelasnya. - DagangNews.com