KUALA LUMPUR 9 Sept - Kebimbangan terhadap tekanan inflasi mungkin menjadi faktor utama yang mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) terus menaikkan kadar dasar semalaman hingga akhir tahun ini.
Ini berikutan pembukaan semula ekonomi dan sekatan ke atas COVID-19 menyaksikan tekanan harga asas meningkat, terutamanya dengan inflasi teras meningkat kepada 3.4% pada Julai, kadar tertinggi sejak Mac 2016.
Menurut Kenanga Research, secara keseluruhan, ia memperlihatkan pendirian bank pusat yang 'hawkish' sejajar dengan trend kadar dasar di peringkat global dalam usaha menghambat kenaikan inflasi.
"Ini bermakna BNM akan menaikkan lagi 25 mata asas OPR dalam mesyuaratnya pada November ini menjadikan kadar faedah itu kepada 2.75%.
"Inflasi yang lebih tinggi dan pemulihan berterusan bagi permintaan dalam negeri akan terus mempengaruhi dan menyokong keputusan dasarnya," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, BNM menepati jangkaan penganalisis apabila memutuskan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5% dalam Mesyuarat Jawatankuasa Monetari (MPC).
Kenaikan kali ketiga secara berturut-turut itu daripada paras terendah 1.75% menyaksikan kadar tertinggi dan terendah koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 2.75% dan 2.25%.
BNM menyifatkan pada kadar OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Baca : Seperti dijangka, BNM naikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.5%
Merujuk kepada kenyataan 'MPC tidak membuat sebarang ketetapan awal', Kenanga Research berkata, ia menunjukkan mesej yang lebih jelas untuk mengurus jangkaan awam dan pasaran dengan menghapuskan sebarang spekulasi yang tidak wajar tentang hala tuju dasar monetari.
"Bank pusat turut mengulangi bahawa 'sebarang pelarasan pada penetapan dasar monetari pada masa hadapan akan dilaksanakan secara terkawal dan beransur-ansur' bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil," katanya.
Sehubungan itu, firma itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga berkembang 8.8%, lebih rendah sedikit berbanding 8.9% pada suku kedua.
Namun, ia dijangka kembali perlahan kepada 0.5% pada suku keempat berikutan permintaan global yang lembap disebabkan sekatan berterusan COVID-19 di China dan kemungkinan berlaku kemerosotan di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
"Mengambil kira faktor ini, kami berpendapat BNM mungkin menghentikan seketika kitaran pengetatan kadarnya.
"Oleh itu, kami kini hanya menjangkakan kebarangkalian 50-50 untuk kenaikan kadar 25 mata asas lagi pada Januari tahun depan," jelasnya.

Sebaliknya, CGS-CIMB Research mengekalkan jangkaannya bahawa tiada kenaikan OPR dalam mesyuarat MPC pada November ini, menjadikan kadar itu pada 2.5% sehingga akhir tahun.
Penganalisisnya, Nazmi Idrus bagaimanapun menjangkakan bank pusat akan menaikkan OPR sebanyak dua kali pada 2023 menjadikannya kepada 3%.
"Kami kurang yakin dengan prospek ekonomi global yang cerah kerana AS berkemungkinan menunjukkan kelembapan ekonomi yang ketara di tengah-tengah siri kenaikan kadar, manakala krisis tenaga di Eropah berkemungkinan akan mendorong Kesatuan Eropah (EU) kepada kemelesetan dan ketidaktentuan pasaran hartanah China pula hanya memaparkan sebahagian kecil daripada masalah sebenar.
"Ini bermakna dorongan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia akan terletak semata-mata kepada ekonomi domestik, di mana pemangkin utama kekal terhad kepada pemulihan sektor pelancongan dan permintaan terpendam," jelasnya.
Bagi pengeksport, menurut beliau, kesan ringgit yang lebih lemah berkemungkinan terhad, kerana kadar pertukaran berkesan nominal (NEER) - indeks mata wang berwajaran perdagangan, menunjukkan kenaikan yang sederhana setakat ini.
"Setakat ini, panduan ke hadapan BNM kekal bergantung kepada data walaupun ia menambah bahasa baharu yang menyatakan bahawa OPR 'tidak membuat sebarang ketetapan awal', dan ia adalah komitmen untuk kekal fleksibel," katanya. - DagangNews.com








