Kawasan rehat PLUS dibuka 24 jam sepanjang musim perayaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kawasan rehat PLUS dibuka 24 jam sepanjang musim perayaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 25 April - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan lebih daripada 2 juta kenderaan akan menggunakan rangkaian lebuhraya pada setiap hari puncak di antara 29 April hingga 9 Mei 2022 yang akan datang bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. 

 

Justeru, semua Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelahnya kini telah bersedia untuk menerima lonjakan trafik ini.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, selama 2 tahun ramai  tidak berpeluang untuk merayakan Aidilfitri bersama-sama keluarga di kampung. 

 

"Apabila kita memasuki Fasa Peralihan Endemik, rakan-rakan niaga kami di semua R&R dan hentian sebelah kini berpeluang untuk menjalankan perniagaan mereka seperti sedia kala dan menyajikan pelbagai hidangan lazat untuk dinikmati oleh semua pelanggan lebuhraya ketika mereka pulang ke kampung masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 

Sepanjang musim perayaan ini, semua R&R dan Hentian Sebelah akan dibuka 24 jam setiap hari untuk kemudahan dan keselesaan pelanggan lebuhraya. 

 

Di kawasan-kawasan rehat ini, PLUS menyediakan ratusan gerai makanan dan minuman, surau serta tandas awam yang disediakan sepanjang masa, demi keselesaan pelanggan.

 

Zakaria berkata, semua pelanggan lebuhraya yang singgah di kawasan rehat diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

 

“Bagaimanapun, sekiranya kawasan rehat tersebut didapati terlalu padat dan sesak sehingga memberi kesan kepada kelancaran perjalanan trafik di lebuhraya, ia mungkin terpaksa ditutup sementara dan akan dibuka semula secepat mungkin setelah keadaan kembali terkawal dan perjalanan trafik bergerak kembali stabil. 

 

"Ketika langkah ini diambil, pelanggan lebuhraya dinasihatkan supaya terus ke kawasan rehat yang berikutnya atau berhenti di plaza tol berhampiran di mana tandas awam dan surau turut disediakan,” katanya.

 

Katanya, terdapat 109 buah stesen minyak beroperasi di sepanjang lebuhraya PLUS untuk memudahkan pelanggan mendapatkan makanan dan menggunakan tandas serta surau selain daripada mengisi minyak.

 

Bagi menguruskan trafik di kawasan-kawasan rehat itu, PLUS juga akan mendapatkan khidmat pasukan RELA. 

 

Selain itu, PLUS turut menyediakan tandas tambahan dan lori tangki di R&R dan hentian sebelah bagi mengimbangi peningkatan jumlah pelanggan yang singgah di kawasan-kawasan rehat ini.

 

Bagi meraikan perjalanan balik kampung dan pulang ke bandar, PLUS turut menawarkan kopi percuma kepada pelanggan yang singgah di kawasan rehat yang terpilih sebelum menyambung semula perjalanan mereka dalam keadaan yang lebih segar. - DagangNews.com