Kadar pengangguran Februari 2022 menurun kepada 4.1% dengan 671,800 penganggur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar pengangguran Februari 2022 menurun kepada 4.1% dengan 671,800 penganggur

KUALA LUMPUR 8 April - Kadar pengangguran pada Februari 2022 menurun kepada 4.1% dengan bilangan penganggur berkurangan 1.3% kepada 671,800 orang, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, bilangan penganggur menurun sebanyak 105,700 atau 13.6% berbanding 777,500 pada Februari 2021 manakala kadar pengangguran menurun sebanyak 0.7 mata peratus daripada 4.8%. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Februari 2022, walaupun kes baharu harian COVID-19 semakin meningkat, aktiviti perniagaan terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

 

Katanya, operasi berterusan semua aktiviti ekonomi dan sosial pada bulan tersebut telah mendorong pengukuhan tenaga buruh.

 

"Dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan, ia memerlukan lebih banyak penglibatan tenaga buruh bagi tujuan pengoperasian, justeru, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan dalam pasaran bagi tujuan pengekalan perniagaan. 

 

"Situasi ini dilihat dapat menggalakkan lebih ramai buruh untuk memasuki pasaran kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Ini dicerminkan oleh peningkatan berterusan dalam penduduk bekerja serta penurunan dalam bilangan pengangguran, seterusnya merekodkan kadar pengangguran yang lebih rendah pada Februari 2022. 

 

Mengikut kategori pengangguran, penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan merangkumi 83.7% daripada jumlah penganggur. 

 

Bilangan dalam kategori ini berkurang sebanyak 1.2% bagi merekodkan 562,500 orang (Januari 2022: 569,500 orang).

 

Pada bulan tersebut juga, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan bulan ke bulan, naik sebanyak 0.2% kepada 16.4 juta dengan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 69.1%.

 

Sementara itu, menurut Mohd. Uzir, Indeks Pelopor (IP) yang menunjukkan hala tuju ekonomi Malaysia kekal melebihi 100.0 mata dan memberi isyarat momentum ekonomi yang lebih perlahan pada bulan-bulan akan datang.

 

"Berbanding Januari 2022, indikator perdagangan luar negeri bulanan bagi kedua-dua eksport dan import menurun masing-masing sebanyak 7.9% (Januari 2022: -10.3%) dan 10.8% (Januari 2022: -0.4%)," jelasnya.

 

Beliau berkata, kedudukan ekonomi yang semakin pulih pada 2 bulan pertama 2022 dipacu oleh aktiviti ekonomi yang menggalakkan.

 

Katanya, ia membolehkan aktiviti ekonomi dan perniagaan untuk terus beroperasi, lantas mendorong lebih banyak permintaan buruh dalam pasaran bagi memenuhi keperluan operasi perniagaan. 

 

"Situasi ini memberi isyarat positif terhadap pasaran buruh, justeru, menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam pasaran buruh, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk kekal kukuh bagi bulan-bulan yang akan datang," katanya. - DagangNews.com