Kadar inflasi di Malaysia pada Januari 2023 menurun kepada 3.7% - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kadar inflasi di Malaysia pada Januari 2023 menurun kepada 3.7% - DOSM

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna. - Gambar hiasan : Facebook FAMA Kelantan

KUALA LUMPUR 24 Feb - Indeks Harga Pengguna (IHP) semakin mereda kepada 3.7% pada Januari 2023 berbanding 3.8% pada Disember 2022, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Malah, IHP yang mengukur kadar inflasi di Malaysia menunjukkan trend penurunan sejak Oktober 2022. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan inflasi di Malaysia pada bulan tersebut disumbangkan oleh kumpulan restoran dan hotel (6.8%), makanan dan minuman bukan alkohol (6.7%) dan pengangkutan (4%).

 

Ini diikuti oleh kumpulan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (3.5%); perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (2.7%); pelbagai barangan dan perkhidmatan (2.3%) dan kesihatan (1.6%) manakala perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain dan pendidikan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.5% dan 1.3%.

 

Sementara itu, kedua-dua minuman alkohol dan tembakau dan pakaian dan kasut masing-masing meningkat sebanyak 0.8% dan 0.5% berbanding Januari 2022.

 

“Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding Disember 2022.

 

"Peningkatan kumpulan ini terutamanya disebabkan oleh komponen makanan di luar rumah yang menyederhana kepada 9.3% berbanding 9.6% pada Disember 2022, manakala makanan di rumah meningkat 5.1% berbanding bulan sebelumnya.

 

"Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 bermula pada 15 hingga 29 Januari 2023 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah meredakan inflasi kumpulan ini dari terus meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kesemua subkumpulan makanan & minuman bukan alkohol mencatatkan peningkatan antara 0.7 hingga 9.1% manakala subkumpulan daging mencatatkan peningkatan sebanyak 8.3% berbanding Januari 2022, diikuti susu, keju & telur (7%); beras, roti dan bijirin lain (6.7%) dan buah-buahan (4.4 %).

 

Gula, jem, madu, coklat dan manisan dan Ikan dan makanan laut masing-masing meningkat 3.4% dan 3.2% manakala subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 0.7%.

 

Selain itu, subkumpulan sayur-sayuran turut mencatatkan peningkatan kepada 1% berbanding 0.9% pada Disember 2022, namun pada asas bulanan, subkumpulan ini mencatatkan peningkatan sederhana 0.7% berbanding 1.7% pada Disember 2022.

 

Sementara itu, inflasi pengangkutan mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 4% pada Januari 2023 berbanding Disember 2022 (4.9%) disebabkan oleh peningkatan purata harga petrol tanpa plumbum RON97 yang lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

 

Mengulas mengenai inflasi di peringkat negeri, Mohd. Uzir berkata, lima negeri merekodkan inflasi melebihi paras nasional 3.7% iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (5.9%), Sarawak (4.3%), Selangor (4.2%), Johor (3.8%) dan Pahang (3.8%).

 

Bagaimanapun, Kedah dan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 2.2%. 

 

Mengenai inflasi negara lain, menurutnya, kadar di Zon Euro mereda kepada 8.5% pada Januari 2023 daripada 9.2% pada bulan sebelumnya, didorong oleh inflasi tenaga yang mereda kepada 17.2%.

 

Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Filipina (8.7%), Indonesia (5.3%), Korea Selatan (5.2%) dan Thailand (5%). - DagangNews.com