Juwai IQI komited wujudkan peluang pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Juwai IQI komited wujudkan peluang pekerjaan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Nov -  Juwai IQI komited untuk mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang teknologi di Malaysia di samping  membangunkan penyelesaian inovatif dalam bidang hartanah, proptech dan metaverse.

 

Pengasas Bersama dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, langkah itu adalah sebagai menyokong inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan selaras dengan inisiatif MyDIGITAL kerajaan, yang bertujuan menarik RM70 bilion pelaburan pendigitalan menjelang 2025.

 

 “Pandemik ini jelas memberi kesan mendalam kepada negara. Langkah-langkah seperti 'Bantuan Keluarga Malaysia' bernilai RM8.2 bilion serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pendidikan, latihan, dan peningkatan kemahiran, dan mengiktiraf peranan wanita melalui pelbagai langkah pembangunan yang disasarkan adalah penting untuk memastikan penyambungan semula aktiviti ekonomi yang cepat dan mengelakkan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Beliau mengulas mengenai pembentangan Bajet 2022 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu.

 

Kashif berkata, Bajet 2022 merupakan bajet terbesar Malaysia, dan ia akan membantu negara dalam memerangi wabak dan meneruskan pertumbuhan ekonomi.

 

Dalam Bajet 2022, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk pembinaan lebih banyak rumah kos rendah dan RM2 bilion untuk kredit perumahan yang secara tidak langsung akan membolehkan lebih ramai pembeli kali pertama memiliki rumah.

 

"Mendapatkan kelulusan pinjaman, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap, sentiasa menjadi penghalang kepada pemilikan rumah.

 

"Menerusi pengumuman yang dibuat kerajaa, saya menyifatkan ia adalah bajet yang sangat baik untuk pembeli rumah kali pertama dan mereka yang tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap," katanya.  

 

Tambahnya, satu lagi perubahan yang dialu-alukan ialah penghapusan cukai keuntungan harta tanah ke atas rakyat Malaysia, pemastautin tetap, dan syarikat yang menjual aset hartanah selepas tahun keenam.

 

Ujarnya, langkah ini akan membantu menggiatkan semula pasaran hartanah Malaysia dan menghasilkan kesan berganda yang positif ke atas ekonomi.  -DagangNews.Com