Jumlah pengeluaran kereta susut 14% pada Februari 2024 akibat kekurangan hari bekerja | DagangNews Skip to main content

Jumlah pengeluaran kereta susut 14% pada Februari 2024 akibat kekurangan hari bekerja

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Jumlah pengeluaran keseluruhan kereta menyusut sebanyak 14% pada Februari berbanding Januari  2024.

 

RHB Investment berkata, ia berpunca daripada pengeluaran yang lebih lemah merentasi jenama utama seperti Perodua (-10%), Proton (-10%), Toyota (-18%) dan Honda (-18%).

 

"Penyusutan dari bulan ke bulan itu dipercayai berpunca daripada jumlah hari bekerja yang kurang akibat sambutan perayaan Tahun Baharu Cina dan pembuatan diunjur meningkat pada Mac 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada Februari 2024 adalah sebanyak 62,833 unit menyusut sebanyak 1% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, ia menjadikan TIV terkini sebanyak 128,300 unit dan penurunan dari bulan ke bulan disebabkan penghantaran yang rendah oleh Perodua (-8%) dan Honda (-12%).

 

Bagaimanapun ia diimbangi kenaikan 4% dari bulan ke bulan daripada Proton, disokong oleh penghantaran 2,314 unit sedan Proton S70 baharunya (berbanding 1,440 unit pada Januari). 

 

"Bagaimanapun, ia masih di bawah sasaran jualan Proton S70 sebanyak 3,000 unit sebulan pada tahun pertama," katanya.

 

RHB Investment berkata, TIV bagi tempoh dua bulan 2024 menyumbang kepada 20% daripada sasaran TIV sebanyak 625,000 unit pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa tahap TIV semasa tidak mampan memandangkan kekurangan pemacu untuk meningkatkan jualan ke paras tertinggi selepas dua tahun mencatatkan rekod jualan.

 

"Kami mengekalkan unjuran TIV dan saranan 'neutral' terhadap sektor itu," katanya. - DagangNews.com