Favelle Favco raih empat kontrak bekal kren bernilai RM39.2 juta | DagangNews Skip to main content

Favelle Favco raih empat kontrak bekal kren bernilai RM39.2 juta

Gambar Favelle Favco
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - Favelle Favco Berhad menerima tempahan pembelian dan kontrak bagi membekalkan kren menara yang keseluruhannya bernilai RM39.2 juta.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pembuat kren itu berkata, tempahan dan surat hasrat itu diterima anak-anak syarikatnya, Favelle Favco Cranes (M) Sdn Bhd (dua kontrak), Shanghai Favco Engineering Machinery Manufacturing Co. Ltd. dan Favelle Favco Cranes Pty Limited.

 

Pelanggan yang terlibat dalam tempahan dan kontrak tersebut ialah Hilong Petroleum Offshore Engineering Ltd, Favco Heavy Industry (Changshu) Co Ltd, G A Caelli Holdings Trust dan CUEL Limited.

 

Menurut Favelle Favco, dua daripada kontrak tersebut ialah kren luar pesisir manakala dua lagi ialah kren menara.

 

Kontrak-kontrak tersebut diterima mulai dari 6 Mac 2024 dan akan dilengkapkan antara suku kedua 2024 hingga menjelang suku pertama 2025.

 

"Kontrak berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya

 

"Kontrak itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan,” katanya. - DagangNews.com