Jualan Toyota meningkat 40% kepada 101,035 kenderaan pada 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan Toyota meningkat 40% kepada 101,035 kenderaan pada 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan - UMW Toyota Motor menutup 2022 dengan positif dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 40% kepada 101,035 unit kenderaan terjual.

 

Jumlah keseluruhan, yang terdiri daripada 100,042 kenderaan Toyota dan 993 Kenderaan Lexus, sekaligus meletakkan Toyota sebagai jenama paling laris (bukan nasional) di Malaysia.

 

Berbanding dengan jumlah jualan 72,394 unit (Toyota + Lexus) pada 2021, peningkatan itu dapat dicapai walaupun keadaan pasaran mencabar serta isu rantaian bekalan yang menjejaskan industri automotif di peringkat global dan tempatan.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K berkata, pihaknya menyampaikan kegembiraan kepada pelanggan di seluruh negara dan berterima kasih kepada atas sokongan mereka.

 

"Kami akan terus memastikan pelanggan kami gembira dan memastikan kualiti dan perkhidmatan akan sentiasa kekal pada tahap tertinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, 2022 menyaksikan Toyota mencatatkan jualan kukuh dalam kategori SUV Segmen C domestik dengan 17,208 unit Corolla Cross terjual untuk tahun itu. 

 

Hilux mendominasi segmen trak pikap dengan 27,198 unit terjual, manakala Hiace (390 unit) dan Fortuner (3,432 unit) muncul teratas bertahan dalam segmen One Ton Van dan Light Duty Wagon.

 

Operasi Perkhidmatan Pelanggan melepasi 1.25 juta kenderaan, satu tahap perkhidmatan luar biasa selepas jualan Toyota di bawah inisiatif Extra Mile untuk menyampaikan perkhidmatan dan selepas jualan terbaik.

 

2022 merupakan tahun yang sibuk dengan beberapa model baharu dilancarkan, termasuk Corolla Cross Hybrid adalah sangat penting sebagai model pertama dengan teknologi kenderaan elektrik hibrid (HEV) yang dipasang di Malaysia dengan teknologi terkini Kilang Toyota di Selangor.

 

Dengan HEV, pengurangan dalam pelepasan karbon dioksida boleh bermula serta-merta.

 

Buat masa ini, kami percaya HEV adalah yang paling sesuai untuk rakyat Malaysia dan akan menambah model HEV kedua dalam 2023, kata Ravindran.

 

Model kenderaan elektrik bateri (BEV) untuk Toyota dan Lexus sudah tersedia dan sedang dipertimbangkan untuk diperkenalkan di Malaysia tidak lama lagi apabila perjalanan ke sifar pelepasan. - DagangNews.com