KUALA LUMPUR 12 Mei - Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan peningkatan 3.9% tahun ke tahun pada suku pertama 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor yang meningkat 8.8%, diikuti perdagangan runcit dan borong masing-masing meningkat 5.1% dan 1.2%.
Katanya, bagi perbandingan suku ke suku, indeks volum meningkat 0.7%, disokong perdagangan runcit yang meningkat 3.2.
"Pengembangan indeks volum kenderaan bermotor tahun ke tahun disumbangkan terutamanya oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor, yang mencatatkan pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 18.5% dan 16.5%, diikuti jualan kenderaan bermotor sebanyak 9.1%," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal menurun 14.1%. Pada asas suku tahunan, indeks volum kenderaan bermotor turun 0.9% berbanding suku sebelumnya.
Peningkatan 5.1% peratus dalam indeks volum perdagangan runcit disebabkan oleh jualan runcit bukan kedai, 26.3% diikuti jualan runcit kedai bukan khusus (11.1%), jualan runcit bahan api automotif di kedai khusus (11%), dan jualan makanan, minuman dan tembakau, 6.6%.
Indeks volum perdagangan runcit meningkat 3.2% berbanding suku sebelumnya.
Sementara itu, dalam bidang perdagangan borong, indeks volum mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 1.2% pada suku pertama 2022 berbanding tahun lalu.
Ini disumbangkan oleh bahan mentah pertanian dan haiwan hidup, 8.4%; makanan, minuman dan tembakau, (4.6%); barangan isi rumah (3.3%) dan mesin, peralatan dan bekalan (2.7%).
Bagi perbandingan suku ke suku, indeks volum perdagangan borong menurun 1.5%. Dilaraskan mengikut musim, indeks volum perdagangan borong/runcit meningkat 5.2% berbanding suku terakhir 2021.
“Semua subsektor mencatatkan pertumbuhan positif, iaitu perdagangan runcit 5.9%, kenderaan bermotor (5%) dan perdagangan borong (2.8%),” katanya. - DagangNews.com








