Jemaah Menteri setuju secara prinsip cadangan reformasi Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jemaah Menteri setuju secara prinsip cadangan reformasi Parlimen

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 3 Jun - Jemaah Menteri pada 1 Jun 2022 telah bersetuju secara prinsip dengan cadangan reformasi parlimen yang merangkumi tiga perkara penting iaitu:

 

  • Penggubalan Akta Perkhidmatan Parlimen
  • Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347]
  • Draf Kod Etika Ahli-ahli Parlimen 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 telah dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837] yang berkuat kuasa pada 20 November 1993. 

 

Beliau berkata, pemansuhan akta itu adalah bagi memenuhi keperluan ketika itu untuk membuka perkhidmatan Parlimen yang tertutup kepada perkhidmatan awam Persekutuan.

 

"Pada Ogos 2021, saya telah mengadakan perbincangan dengan Yang DiPertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat, maka telah dipersetujui untuk kerajaan menggubal suatu RUU Perkhidmatan Parlimen bagi merealisasikan hasrat pengasingan kuasa di antara Badan Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman. 

 

"Penggubalan Akta ini juga mengambil kira penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen yang merupakan sebahagian daripada pengurusan Parlimen yang mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia. 

 

"Beberapa perkara yang akan diteliti termasuklah cadangan mewujudkan Skim Perkhidmatan Parlimen serta sumber kewangan dan bajet tahunan yang diperolehi Parlimen daripada Kumpulan Wang Disatukan (Consiladated Fund) yang di kawal selia oleh Suruhanjaya Parlimen sendiri selaras dengan prinsip pengasingan kuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dr Wan Junaidi berkata, pindaan ke atas Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] pula dilihat penting supaya akta tersebut lebih relevan dan memberi impak yang sesuai dengan keadaan semasa. 

 

 

junaidi
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

 

Beliau berkata, akta tersebut telah digubal pada tahun 1952 sebagai House of Parliament (Privileges and Powers) Ordinance 1952 dan dipinda pada tahun 1953 sebelum dikuat kuasakan tahun tersebut. 

 

"Pada tahun 1988 satu semakan dibuat untuk menukar Ordinan tersebut menjadi Akta 347 sekarang ini. Selain daripada itu tidak ada pindaan pernah dibuat semenjak 1953.

 

"Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 [Akta 347] merupakan Akta berhubungan dengan kuasa dan keistimewaan Majlis Parlimen, kebebasan bercakap dan berbahas dalam prosiding Majlis itu dan perlindungan kepada orang yang diambil khidmat dalam penyiaran kertas-kertas Majlis itu. 

 

"Pindaan kepada Akta Majlis Parlimen juga akan mengandungi peruntukan larangan kepada ahli-ahli parlimen yang telah dituduh di mahkamah digantung daripada menghadiri aktiviti majlis dan ini masih diperhalusi untuk menyesuaikan dengan perkembangan dan peraturan Dewan Rakyat sedia ada. 

 

"Akta ini belum pernah dipinda sejak ia digubal bagi menyesuaikan dengan persekitaran dan keadaan semasa, oleh itu, Akta ini perlu dikaji semula dan dipinda," ujarnya.

 

Dalam perkembangan sama, Dr Wan Junaidi juga mencadangkan agar satu Kod Etika Ahli-ahli Parlimen disediakan yang berbeza daripada apa yang diperuntukan dalam Peraturan-Peraturan Majlis Parlimen. 

 

Beliau berkata, Kod Etika Ahli Parlimen itu akan menggariskan tatatertib yang lebih terperinci kepada sikap ahli-ahli parlimen semasa di dalam dan di luar dewan sebagaimana yang dilaksanakan di beberapa negara lain. 

 

"Kod Etika yang dicadangkan ini adalah satu draf kod etika yang digubal pada tahun 2011 semasa saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Teknikal untuk menggubal kod etika ahli-ahli parlimen di bawah Jawatankuasa Pembaharuan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada ketika itu dan pelaksanaan Kod Etika ini tidak diambil kira sejak itu. 

 

"Cadangan untuk memperkenalkan Kod Etika ini adalah selaras dengan apa yang dilaksanakan di negara lain termasuk India dan New Zealand," katanya.

 

Tambahnya, lanjutan daripada keputusan Jemaah Menteri itu, beliau telah memohon Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk mengadakan persidangan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh mereka supaya memutuskan rangka kerja serta libat urus menteri dengan semua pemegang taruh berhubung dengan undang-undang berkenaan. 

 

"Selain itu, ia juga bagi membincangkan cadangan takwim, garis masa dan tindakan lanjut yang akan dilaksanakan oleh Parlimen Malaysia serta BHEUU, JPM.

 

"Kedua-dua perkara ini juga merupakan perkara-perkara dalam agenda pembaharuan Parlimen yang dipersetujui menerusi Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang termaktub dan telah dimeterai pada 13 September 2021," katanya. - DagangNews.com