KUALA LUMPUR 25 Mac - Kenanga Research mengurangkan unjuran hasil MyNews Holdings Bhd. sebanyak 16% bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (FY22) kepada RM16.7 juta berikutan prestasi suku pertamanya yang kurang memberangsangkan.
Semakan semula itu mengambil kira perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi bagi melancarkan beberapa cawangan baharu, menurutnya dalam nota kajian hari ini.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, kerugian bersih bagi suku pertama berakhir 31 Januari 2022 mengecil kepada RM7.86 juta berbanding RM8.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya berikutan hasil yang lebih tinggi dan kedatangan pelanggan yang meningkat apabila sekatan pergerakan dilonggarkan pada Oktober lalu.
Bagaimanapun, sebahagiannya ia diheret turun oleh perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi, penjualan dan pengedaran serta perbelanjaan lain.
Pendapatan bagi tempoh itu, sebaliknya meningkat 41.34% kepada RM139.44 juta daripada RM98.65 juta bagi tempoh sama 2021.
Kerugian bersih yang dicatatkan bagi tempoh itu adalah di bawah anggaran Kenanga Research dan konsensus disebabkan opex yang lebih tinggi di sebalik hasil yang lebih tinggi ekoran pembukaan cawangan baharu dan kedatangan pelanggan.
Firma itu kekal berhati-hati terhadap margin pada suku berikutnya disebabkan susut nilai dan perbelanjaan pemasaran yang lebih tinggi sebelum cawangan baharu melepasi fasa seterusnya.
Menurutnya, kos persediaan untuk cawangan CU kebiasaannya adalahlebih rendah daripada kedai myNews (sekitar RM360,000-RM450,000 berbanding myNews RM400,000-RM450,000) disebabkan peralatan makanan segar yang lebih murah.
"Namun, didorong pembukaan semula ekonomi, kami positif dengan prospek MyNews disokong oleh peningkatan pembukaan cawangan CU yang akan meningkatkan penggunaan pusat pemprosesan makanan (dengan kadar penggunaan semasa sekitar 40 hingga 45%.
"Selain itu, pembukaan lebih banyak myNews Super Value dan myNews CV serta menawarkan perkhidmatan penghantaran menggunakan platform e-dagang, juga merupakan antara faktor yang akan mendorong kepada prospek positif," jelasnya.
Ini membolehkan Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap MyNews, tetapi menyemak turun harga sasarannya kepada 85 sen berbanding RM1 sebelum ini.
"Semakan ini berdasarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 34x bagi pendapatan sesaham (EPS) FY22 pada 2.5 sen. Kami percaya MyNews layak untuk mendapat penilaian disebabkan cabaran pembiayaan," katanya.
Setakat 9.15 pagi ini, harga sahamnya susut 2.5 sen atau 3.38% kepada 71.5 sen dengan 468,100 saham diniagakan. - DagangNews.com








