KUALA LUMPUR 7 Julai - Bilangan penganggur pada Mei 2022 terus menurun dengan pengurangan sebanyak 1.8% kepada 637,700 orang berbanding 649,300 pada April menjadikan kadar pengangguran pada bulan tersebut kekal pada 3.9%, menurut Jabatan Perangkaan.
Berbanding Mei 2021, bilangan penganggur turut berada dalam trend menurun bagi 14 bulan berturut-turut dengan pengurangan sebanyak 12.4% atau 90,400 orang.
Oleh itu, kadar pengangguran turun sebanyak 0.6 mata peratus berbanding 4.5% pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, krisis kenaikan harga barangan komoditi yang berlaku dalam pasaran, secara tidak langsung memberi kesan terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.
Katanya, kenaikan harga barang akan membawa kepada inflasi yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara.
"Di samping itu, Dasar Sifar COVID yang dilaksanakan oleh China telah menyebabkan kekurangan dan kelewatan pembekalan bahan, lantas menjejaskan pasaran global, terutamanya dalam sektor pembuatan.
"Bagaimanapun, pengoperasian kesemua sektor ekonomi dan aktiviti sosial dilihat sebagai faktor penyumbang kepada peningkatan permintaan tenaga buruh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Di samping itu, menurutnya, kemasukan buruh asing ke dalam negara bagi menangani kekurangan tenaga buruh dalam industri tertentu juga diramal sebagai elemen positif dalam memastikan pasaran buruh kekal stabil walaupun ia akan membawa kepada lebih banyak persaingan dan pasaran buruh yang lebih mencabar.
"Oleh itu, pasaran buruh dijangka berada dalam momentum pemulihan yang positif dalam beberapa bulan akan datang, namun ini tidak mengambil kira kesan jangka panjang daripada tekanan inflasi di seluruh dunia," tambahnya.
Pada Mei 2022, kedudukan tenaga buruh kekal kukuh dengan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan dalam bilangan tenaga buruh iaitu sebanyak 0.2% kepada 16.54 juta orang.
Ini menyaksikan kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2022 meningkat sedikit kepada 69.5%.
Daripada jumlah penganggur, 83.7% adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.
Kategori itu menurun sebanyak 1.6% mencatatkan 534,000 orang berbanding 542,000 orang bulan sebelumnya.
Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 58.6% adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.9 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.
Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia terus berkurang dengan penurunan sebanyak 2.5% kepada 103,800 orang. -DagangNews.com







