Isuzu lancar edisi terhad D-Max Stealth | DagangNews Skip to main content

Isuzu lancar edisi terhad D-Max Stealth

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

PETALING JAYA 6 Ogos — Isuzu Malaysia memperkenalkan Isuzu D-Max edisi terhad terbaru dikenali dengan nama Stealth, mewakili penggayaan yang menonjol dan agresif dengan semangatnya yang tersendiri. Stealth hadir dengan sentuhan rekaan eksklusif yang menarik perhatian dan berbeza daripada kebiasaan D-Max sedia ada.


Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Koji Nakamura berkata, pelanggan yang mencari sebuah trak pikap tahan lasak dan boleh diharap dalam pasaran ketika ini akan menemukan pakej penampilan dan prestasi yang mengujakan pada Isuzu D-Max Stealth.


``Luarannya yang bergaya turut dipadankan dengan rekaan dalaman yang menyerlah yang menjadi pernyataannya yang tersendiri, memberikan kelainan ketika di jalanan bagi pemiliknya," katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Masayuki Suzuki.

 

stealth
Koji Nakamura (kiri) dan Masayuki Suzuki pada majlis pelancaran edisi terhad D-Max Stealth di Petaling Jaya, hari ini

 

Menggunakan asas penawaran yang sama dengan Isuzu D-Max 4x4 Premium automatik, Stealth dilengkapi enjin 1.9 liter Ddi Blue Power yang telah menerima banyak pujian baik daripada pengkagum mahupun pengkritik yang mengiktirafnya sebagai teknologi berkesan yang mengubah landskap pasaran trak pikap.


Didatangkan dalam dua warna, Stallion Black Metallic atau Silky White Pearl, Isuzu D-Max Stealth hanya akan ditawarkan dalam jumlah terhad sebanyak 180 unit sahaja.

 

dmax


Dibangunkan daripada tema rekaan pikap urban premium, Isuzu D-Max Stealth mendapatkan imejnya yang tersendiri melalui penggunaan komponen dan bahagian hitam bagi menggantikan kemasan krom. Ini termasuk pada gril depan, lampu utama, lampu kabus dan kemasan bampar, landasan bumbung dan bampar belakang.


Grilnya menampilkan garis kemasan warna perak yang halus, menghiasi bahagian depan dan sepadan dengan lanjutan ke bahagian spoiler depan, memberikan wajah depan yang sporty bagi D-Max Stealth ini.


Untuk menambahkan lagi eksklusiviti edisi ini, model berkenaan menggunakan rim 18-inci aloi dengan lencana nama Stealth, yang turut ada pada pintu dan juga bahagian belakang untuk membezakannya daripada Isuzu D-Max lain. Pintu ruang barangan di belakang juga datang dengan ciri bukaan ringan untuk memudahkan penggunaan.

 

dmax


Kelainan penting pada Isuzu D-Max Stealth ialah pemijak sisinya boleh alih dan disimpan dengan rapi. Ini ciri pertama seumpamanya ditawarkan secara standard pada trak pikap. Ketika pintu ditutup, pemijak sisi berkenaan akan tersimpan dengan kemas di bawah badan trak, menjadikan profil sisinya lebih bersih.

 

dmax


Jika mana-mana pintu dibuka pula, pemijak sisi berkenaan akan terletak pada tempat sepatutnya untuk memudahkan pergerakan penumpang untuk keluar dan masuk. Cahaya automatik di bahagian bawah kenderaan juga akan memudahkan lagi penumpang.


Di ruangan dalam, ciri pertama yang akan menarik perhatian ialah tempat duduk dengan tona warna merah dan hitam. Menggabungkan material kulit premium dan juga fabrik, kerusi berkenaan turut diberikan jahitan logo Stealth pada bahagian belakangnya sebagai satu lagi sentuhan eksklusif.

 

dmax



Suasana dalam kabin diserikan lagi dengan penggunaan pelapik bumbung warna kelabu, sementara kemasan permukaan lainnya dalam warna hitam berkilat agar selari dengan tema keseluruhan. Tombol kawalan pendingin hawa pula diberikan penyudah warna krom.


Sebagai sebuah trak pikap premium urban, Isuzu D-Max Stealth turut dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) depan dan belakang, menjadi yang pertama dalam kelasnya yang didatangkan dengan ciri ini. Ia mampu merakam dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya bagi kedua-dua kamera, baik di waktu siang atau malam. Sistem berkenaan akan merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.
 

dmax


Dengan sensor pergerakan, ia boleh juga merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam sudut 140-darjah, atau ketika ia mengesan impak pada kenderaan. Rakaman berkenaan boleh dimainkan semula pada telefon pemilik melalui sambungan WiFi, dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.


Ciri lain yang akan memudahkan lagi pengguna yang juga pertama kali ditawarkan dalam kelasnya ialah Peninjau Sekeliling (AVM) dengan Panduan Imej 3D. Menggunakan empat kamera di sekeliling kenderaan, sistem membantu pemandu ketika ingin membelokkan kenderaan, kerana ia dengan automatik akan memberikan pilihan paparan dari atas atau 3D sekiranya gear undur dipilih. Pemandu juga boleh mengaktifkan AVM secara manual dengan menekan butang pada papan pemuka untuk memeriksa persekitaran.


Tambahan lain ialah sensor parkir di depan yang membantu pemandu sekiranya ingin meletakkan kenderaan di tempat sempit. Sensor berkenaan akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja kenderaan mula bergerak dan akan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j. Ia kemudiannya akan diaktifkan semula ketika kenderaan mencapai kelajuan 20 km/j. Pemandu bagaimanapun mempunyai pilihan untuk mematikan sistem ini secara manual.


Isuzu D-Max Stealth didatangkan dengan jaminan istimewa tanpa had selama 7 tahun dan boleh didapati melalui semua rangkaian pengedar sah Isuzu seluruh negara bermula hari ini dengan harga bermula RM125,799.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia, manakala RM128,176.20 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sabah dan RM128,220.30 (atas jalan, tidak termasuk insurans) di Sarawak.


Pelanggan-pelanggan terawal yang membeli Isuzu D-Max Stealth (pendaftaran persendirian sahaja) yang mendaftar kenderaan mereka sepanjang Ogos akan menerima sport roll bar atau memilih untuk membeli penutup T-Lid (bernilai RM5,500) hanya pada harga RM2,000 sementara stok masih ada. - DagangNews.com
 

dmaxdmaxdmax