KUALA LUMPUR 17 Feb - Barisan Isuzu D-Max menerima beberapa kemas kini bagi tahun 2023, membolehkan trak pikap itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah trak pilihan ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, Isuzu D-Max telah mengorak langkah bermakna dengan menjadi trak pikap yang inovatif, canggih, selamat dan tangkas yang hadir dengan penampilan ranggi dan moden.
"Bagi tahun 2023, kami meningkatkan lagi kemaskini yang diberikan kepada trak ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo pula berkata, kebanyakan kemaskini yang diberikan untuk Isuzu D-Max tahun ini adalah hasil daripada kerjasama erat antara Isuzu dengan pengedarnya.
"Melalui kesefahaman yang erat terhadap keperluan pelanggan, kami berhasil untuk membawakan peningkatan yang memenuhi keperluan dan kehendak pengguna Isuzu D-Max," katanya.
Varian flagship, X-Terrain dan Premium diberikan warna baharu, Islay Gray Mica dan Dolomite White Pearl, manakala warna baharu, Biarritz Blue Metallic yang menggantikan Sapphire Blue ditawarkan hanya untuk varian Automatic Premium, Auto Plus dan Automatic Standard.
Bagi tempat duduk pula menerima sentuhan rekaan baharu dengan warna hitam, selain X-Terrain flagship menawarkan rupa baharu kerusinya dengan menampilkan kontras Cafe Brown.

Semua varian dengan ciri 4x4 kini datang dengan ciri tambahan differential-lock belakang kawalan elektronik. Diff-Lock berkenaan memberikan kelegaan fikiran ketika melalui jalan off-road memandangkan ia menyediakan cengkaman tambahan di permukaan tidak rata atau licin.
Selain daripada penampilan baharu yang lebih segar, X-Terrain kini datang dengan perakam video digital untuk memudahkan lagi pengguna merakam situasi semasa ketika pemanduan melalui kamera depan dan juga belakang.


Kemaskini lain yang diberikan termasuklah ciri kawalan tanpa kunci jarak jauh baharu dan soket 12V untuk varian Single Cab.
Untuk lebih kemudahan, varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus kini dilengkapi dengan pengecas tanpa wayar dengan output 15W dan membolehkan pengecasan lebih cepat.


Sementara itu, varian 3.0 liter Automatic Premium menerima tetapan suspensi yang diperbaharui untuk menampung lebih beban, naik dari 580 kilogram (kg) kepada 775 kg dengan pertambahan sebanyak 195 kg, untuk memenuhi keperluan penggunaan di Malaysia Timur.
Trak pikap itu kini boleh didapati di pasaran dengan bermula dari RM94,949 untuk Isuzu D-Max 3.0L 4x4 MT Single Cab hingga RM150,938 bagi varian Isuzu D-Max 3.0L 4x4 AT X-Terrain. - DagangNews.com








